PADANG RENGAS: Pengampunan bersyarat Datuk Seri Najib Tun Razak tidak sesekali memadamkan kenyataan penglibatan bekas Perdana Menteri itu dalam skandal kewangan terbesar negara.
Ketua Angkatan Muda Keadilan (AMK), Muhammad Kamil Abdul Munim berkata, pengampunan bersyarat Najib itu adalah kuasa prerogatif Yang di-Pertuan Agong menurut Perlembagaan Persekutuan dan perlu dihormati.
Namun katanya, perkembangan itu tidak menafikan isu seperti 1Malaysia Development Berhad (1MDB) serta keadaan negara yang masih dihantui beban akibat skandal tersebut.
“Apa sahaja keputusannya tidak pernah menutup atau memadam kenyataan dan juga fakta bahawa kes yang melibatkan Datuk Seri Najib Razak ini telah mencemarkan imej negara.
“Ini adalah antara skandal kewangan yang terbesar di dunia. Ini kenyataan yang perlu diterima oleh semua orang,” katanya ketika ditemui dalam majlis minum petang wanita Padang Rengas di sini hari ini.
Beliau yang juga Setiausaha Politik Datuk Seri Anwar Ibrahim berkata, pendirian kerajaan, Pakatan Harapan (PH) dan PKR tetap konsisten untuk membasmi amalan rasuah dan penyalahgunaan kuasa.
“Tidak timbul soal tentang sama ada kita berkomplot atau berkompromi. Pendirian kita jelas,” katanya.-UTUSAN.
