SEBANYAK lima peratus daripada hasil jualan tiket Pay-Per-View (PPV) bagi UXR Showdown Chapter 2 akan disalurkan kepada tiga pertubuhan bukan kerajaan (NGO) bagi meningkatkan kesedaran masyarakat terhadap penjagaan alam sekitar.
UXR Management berkata, tiga NGO tersebut adalah Enggang Group dari Pahang, Malaysia Animal Association dan Malaysian Nature Society.
Menurutnya, program itu jarang atau hampir tidak pernah dijalankan oleh mana-mana pihak penganjur di Malaysia.
“Ini adalah antara konsep yang pertama dibuat bagi mewujudkan kesedaran kepada orang ramai tentang kesedaran atau pengetahuan am berkaitan alam sekitar, Sosial dan Tadbir Urus (ESG), haiwan dan kelestarian alam.
“Di samping dalam menjalan program sukan, pihak UXR mewujudkan kaedah memberi dan menerima serta sikap cakna orang ramai tentang sumbangan kepada pihak yang memerlukan,” katanya dalam satu kenyataan pada Jumaat.

UXR Showdown Chapter 2 akan diadakan pada 10 Oktober 2026.
UXR Showdown Chapter 2 bakal diadakan di Stadium Tertutup SUKPA, Kuantan, Pahang pada 10 Oktober 2026.
Edisi kali ini yang membawa tema rasmi ‘Real Fighters Save The World’ mula membawa masuk prospek muda antarabangsa seperti Elijah Hinzman dari Indonesia untuk menandatangani kontrak dan bertarung di gelanggang UXR.
Tambah UXR Management, diharapkan semua fighter dapat menjadi medium atau ‘role model’ untuk menyampaikan mesej berkaitan kesedaran dan kepentingan menjaga alam sekitar serta isu perubahan iklim dunia.
“Selain itu, penonton yang membeli tiket akan layak untuk menyertai kempen ‘give away’ berbentuk wang tunai.
“Pengumuman pemenang akan diumumkan melalui media sosial,” ujarnya.