SHAH ALAM – Menteri Besar Negeri Sembilan, Datuk Seri Ismail Lasim perlu menjelaskan lima persoalan utama berhubung perubahan pendirian beliau mengenai proklamasi berkaitan penurunan takhta Yang di-Pertuan Besar Negeri Sembilan, Tuanku Muhriz Tuanku Munawir.
Ahli Majlis Pimpinan Pusat (MPP) Parti Keadilan Rakyat (PKR), Tengku Datuk Seri Zafrul Tengku Abdul Aziz berkata, persoalan itu timbul susulan percanggahan antara pendirian Ismail pada 6 September yang masih menyatakan sokongan penuh dan taat setia kepada Tuanku Muhriz dengan dakwaan bahawa proklamasi ditandatanganinya pada 3 Ogos adalah secara paksaan.
Beliau berkata, perkara itu perlu dijelaskan terlebih dahulu sebelum Ismail mengulas panjang lebar mengenai adat, Perlembagaan, mandat rakyat dan bidang kuasa seperti yang dinyatakan dalam kenyataan tujuh halaman yang dikeluarkannya.
“Jadi sebelum bercakap tentang perkara lain, Menteri Besar perlu menjawab lima soalan ini. Pertama, betulkah anda dipaksa menandatangani proklamasi pada 3 Ogos? Kedua, jika benar, siapa yang memaksa anda?
“Ketiga, jika pada 6 September anda masih menyatakan sokongan penuh dan taat setia kepada Tuanku Muhriz, dan pada 9 September mendakwa proklamasi itu ditandatangani secara paksaan, apa yang berubah sehingga Exco pada 15 September mengambil pendirian bahawa proklamasi itu sah?” soalnya dalam satu hantaran di Facebook pada Khamis.
Tengku Zafrul berkata, persoalan keempat yang perlu dijawab ialah perkara yang menyebabkan perubahan pendirian itu, termasuk sama ada Ismail turut berdepan tekanan atau paksaan seperti didakwa ketika menandatangani proklamasi berkenaan.
“Kelima, jika terdapat tekanan untuk mengubah pendirian anda, siapa yang terlibat dan siapakah yang anda temui dalam tempoh tersebut?” ujarnya lagi.
Beliau menegaskan, persoalan itu timbul berdasarkan kronologi tindakan dan kenyataan Ismail berhubung proklamasi berkenaan.
“Ini bukan persoalan kecil. Seorang Menteri Besar telah mendakwa beliau dipaksa menandatangani dokumen berkaitan kedudukan Raja, membuat laporan polis mengenainya dan secara terbuka menyatakan sokongan penuh serta taat setia kepada Tuanku Muhriz.
“Tidak sampai 10 hari kemudian, kerajaan yang dipengerusikannya mengesahkan proklamasi itu dan meminta proses pewartaannya diteruskan,” tambahnya lagi.
Sehubungan itu, Tengku Zafrul mempersoalkan perkara yang menyebabkan perubahan pendirian tersebut dalam tempoh berkenaan.
“Apa yang sebenarnya berubah antara 9 dan 15 September? Perkara asas ini perlu dijelaskan dahulu,” tegasnya lagi.
Menurut Tengku Zafrul, kenyataan tujuh halaman yang dikeluarkan Ismail masih menegaskan bahawa kerajaan tidak menentukan siapa yang menaiki atau meninggalkan takhta, sebaliknya perkara itu perlu melalui institusi yang mempunyai bidang kuasa.
Bagaimanapun, beliau berkata, kenyataan tersebut masih tidak menjelaskan perubahan pendirian Menteri Besar berkenaan, khususnya apa yang berlaku antara tarikh tersebut.