Kawalan akses EXCO bukan bermakna memihak, polis hormati proses perlembagaan

am@hmetro.com.my

Seremban: Polis Diraja Malaysia (PDRM) khususnya Kontinjen Negeri Sembilan sentiasa memantau rapat perkembangan semasa di negeri ini, serta melaksanakan langkah keselamatan yang perlu bagi memastikan ketenteraman awam dan keselamatan masyarakat terus terpelihara.

Ketua Polis Negeri Sembilan, Datuk Alzafny Ahmad berkata, pihaknya mengambil maklum kenyataan Jabatan Peguam Negara berhubung proklamasi bertarikh 19 April 2026 serta perkembangan proses perundangan berkaitan perkara itu.

“PDRM menghormati sepenuhnya proses perlembagaan, perundangan dan institusi yang sedang berjalan, serta tidak akan membuat sebarang penentuan terhadap perkara yang berada di luar bidang kuasa pasukan ini,” katanya dalam satu kenyataan, hari ini.

Mengulas berhubung penugasan polis di beberapa lokasi di sini, termasuk Galeri Diraja Tuanku Ja’afar, Balai Undang Luak Sungei Ujong dan Wisma Negeri, beliau menjelaskan kehadiran serta kawalan keselamatan yang dilaksanakan adalah bagi memelihara keselamatan awam.

“Bagaimanapun, pihak polis melaksanakan pengurusan akses ke Pejabat Wisma Negeri terhadap barisan ahli Majlis Mesyuarat Kerajaan Negeri (EXCO) Negeri Sembilan sejurus pengumuman pembatalan pelantikan yang dibuat pihak istana Negeri Sembilan.

“Tindakan ini bagi memastikan aspek keselamatan, ketenteraman awam dan kelancaran urusan di premis berkenaan terus terpelihara,” katanya.

Beliau berkata, sebarang kawalan akses di lokasi berkaitan dilaksanakan secara terkawal berdasarkan penilaian keselamatan semasa, keperluan pengurusan premis serta bagi mengelakkan sebarang keadaan yang boleh mencetuskan ketegangan atau menjejaskan ketenteraman awam.

“Tindakan itu tidak seharusnya ditafsirkan sebagai PDRM memihak atau memberikan pengiktirafan kepada mana-mana pihak dalam perkara yang sedang melalui proses perlembagaan dan perundangan,” katanya.

Menurutnya, sebagai agensi yang bertanggungjawab memelihara keamanan dan menguatkuasakan undang-undang, PDRM akan terus melaksanakan tugas secara profesional, adil dan berlandaskan undang-undang tanpa memihak kepada mana-mana pihak.

“PDRM tidak akan berkompromi terhadap sebarang perbuatan yang melanggar undang-undang, mencetuskan provokasi, mengganggu ketenteraman awam atau mengancam keselamatan mana-mana individu dan institusi.

“Orang ramai dinasihatkan supaya kekal tenang, menghormati proses undang-undang yang sedang berjalan serta tidak membuat atau menyebarkan spekulasi dan maklumat yang tidak disahkan yang boleh menimbulkan kekeliruan atau ketegangan dalam kalangan masyarakat,” katanya.

Menurutnya, PDRM akan terus memantau perkembangan semasa dan mengambil langkah keselamatan yang bersesuaian bagi memastikan keamanan, keselamatan serta ketenteraman awam di Negeri Sembilan, sentiasa terpelihara.

© New Straits Times Press (M) Bhd

Scroll to Top