Pembatalan pelantikan 10 EXCO Negeri Sembilan diwartakan hari ini

mukhriz.husin@bh.com.my

Kuala Lumpur: Pembatalan pelantikan 10 ahli Majlis Mesyuarat Kerajaan Negeri (EXCO) Negeri Sembilan telah diwartakan pada hari ini.

Warta Kerajaan Negeri Sembilan, N.S. P.U. 18, menyatakan, pelantikan ahli-ahli EXCO tersebut dibatalkan berkuat kuasa 20 September oleh Yang Dipertuan Besar Negeri Sembilan, Tuanku Muhriz Tuanku Munawir.

“Menurut Perkara 38(5) Undang-Undang Tubuh Kerajaan Negeri Sembilan (UUTKNS) 1959, seseorang ahli EXCO selain daripada menteri besar memegang jawatannya selama diperkenan oleh (Yang Dipertuan Besar).

“Memandangkan (10 ahli EXCO itu) telah melanggar ikrar taat setia (terhadap Yang Dipertuan Besar), dengan ini (Yang Dipertuan Besar) menarik balik perkenan dan membatalkan pelantikan (mereka) sebagai ahli EXCO Negeri Sembilan,” menurut warta berkenaan.

Warta itu diterbitkan sebagai tambahan kepada Perundangan, Jilid 79, No. 39 .

Sepuluh bekas EXCO terbabit terdiri wakil UMNO iaitu Mustapha Nagoor (Palong); Faizal Ramli (Linggi); Zaiful Bahri Idris (Chembong); Razi Ali (Sungai Lui); Asna Amin (Lenggeng); Siti Nur Umaira Hasim (Labu); dan Suhaimizan Bizar (Gemencheh).

Tiga lagi membabitkan wakil MCA, Siow Kong Choon (Chennah); Fairuz Isa daripada PAS (Serting); serta Razali Abu Samah (Sikamat) daripada WAWASAN.

Minggu lalu, barisan EXCO berkenaan mengeluarkan kenyataan didakwa mengesahkan pelucutan Tuanku Muhriz sebagai Yang Dipertuan Besar Negeri Sembilan, sebelum disokong Menteri Besar Ismail Lasim sehari kemudian.

Bagaimanapun, perkara itu dipertikaikan oleh Dewan Keadilan dan Undang (DKU) Negeri Sembilan serta Jabatan Peguam Negara.

Pada 20 September, pihak Istana Negeri Sembilan mengumumkan bahawa Tuanku Muhriz telah membatalkan pelantikan semua EXCO berkenaan, berkuat kuasa serta-merta.

© New Straits Times Press (M) Bhd

Scroll to Top