Zul Huzaimy belum fikir tinggal dunia lakon, cuma jarang terima tawaran

norhayati_nordin@hmetro.com.my

Kuala Lumpur: Meskipun kini dilihat jarang berlakon, tetapi pelakon Zul Huzaimy, 48, aktif di belakang tabir apabila terbabit dalam program seperti pengurusan bengkel lakonan selain perniagaan.

Menurut Zul, dia tidak terfikir untuk meninggalkan dunia lakonan, sebaliknya jarang mendapat tawaran dan pada masa sama kadang kala perlu ditolak kerana sudah terikat dengan pelbagai aktiviti lain.

“Saya masih lagi nak berlakon, cuma tawaran tidak selalu dapat. Kadang-kadang bila ada tawaran, saya pula tidak dapat nak buat kerana terbabit dengan bengkel lakonan sebagai tenaga pengajar.

“Selain itu, saya juga ada perniagaan dan perlu diuruskan. Saya pun ada tiga anak dengan dua daripadanya bersekolah rendah. Jadi, saya perlu pastikan ada kewangan yang cukup untuk anak-anak,” katanya kepada Harian Metro.

Mengulas mengenai filem Bisikan Nafsu yang mengetengahkannya untuk watak antagonis sebagai ‘UR’, Zul Huzaimy berkata, dia menerima tawaran itu daripada penerbit dan penulis skrip, Datuk A Aida sendiri.

“Datuk A Aida hubungi saya dan ajak terbabit berlakon dalam filem ini. Bila tengok jadual kerja, kebetulan saya ‘free’ dan boleh buat. Saya terima kerana tahu dengan cara kerja A Aida yang komited dalam produk karya dihasilkan.

“Cuma, saya ditegur untuk ‘buat badan’ di gimnasium sebab nampak agak berisi. Namun, saya tidak pergi pun dan hanya bersenam setiap hari. Alhamdulillah, dapat juga saya turunkan berat badan dengan senaman sahaja,” katanya.

Ditanya mengenai perasaannya untuk menghadapi kritikan dan kecaman penonton di media sosial, Zul berkata, dia bersikap terbuka dan terpulang kepada penerimaan masing-masing kerana sudah buat yang termampu.

Katanya, dia juga faham dengan pengaruh media sosial yang luas ketika ini seiring perkembangan zaman dan tidak perlu terlalu ambil peduli kerana berlakon itu adalah pekerjaan.

© New Straits Times Press (M) Bhd

Scroll to Top