BESUT – Kadar kebolehpasaran graduan politeknik dan kolej komuniti di seluruh negara mencatat pencapaian membanggakan apabila merekodkan angka melebihi 98 peratus pada tahun lalu, sekali gus mengatasi sasaran peringkat nasional.
Pengarah Kanan (Kompetensi) Kementerian Pendidikan Tinggi, Dr Zamzam Mohd Walid berkata, pencapaian itu membuktikan golongan graduan daripada institusi terbabit memiliki nilai pasaran tinggi serta berupaya menceburi pelbagai bidang kerjaya selepas tamat pengajian.
”Lebih daripada 98 peratus ini direkodkan bagi politeknik dan kolej komuniti pada 2025, dan ia adalah keseluruhan institusi serta semua bidang yang ditawarkan.
”Daripada keseluruhan graduan direkodkan dalam kategori kebolehpasaran itu, padanan pekerjaan dengan bidang pengajian adalah sekitar 50 hingga 60 peratus,” katanya.
Beliau berkata demikian ketika ditemui pada program Creativ3 Xperience Festival 2026 (CXF’2026) : Ulir dan Ukir di Politeknik Besut di sini pada Rabu.
Mengulas lanjut, beliau menjelaskan situasi itu turut dipengaruhi perubahan landskap pekerjaan masa kini yang menyaksikan graduan tidak semestinya kekal dalam satu bidang kemahiran sahaja sepanjang kerjaya mereka.
Dalam pada itu, Zamzam menekankan bahawa penglibatan pihak industri dalam reka bentuk kurikulum merupakan pendekatan kritikal bagi memastikan kemahiran yang diterapkan sentiasa selari dengan kehendak pasaran semasa.
Jelasnya, pihak industri dilantik sebagai penasihat dalam proses penambahbaikan kurikulum supaya elemen serta kemahiran yang dicari majikan dapat diserapkan secara langsung ke dalam silibus pembelajaran pelajar.
”Tujuannya supaya apa yang kita ajar di politeknik ini sepadan dengan keperluan industri dan pelajar mempunyai pengetahuan asas berkaitan sesuatu industri sebelum mereka memasuki alam pekerjaan.
”Dengan cara itu, pihak industri tidak perlu melakukan terlalu banyak penyesuaian terhadap graduan apabila mereka mula bekerja,” ujarnya.
Tambah beliau, perkembangan pesat teknologi termasuk kecerdasan buatan (AI) serta pendigitalan menuntut kurikulum pengajian untuk sentiasa berevolusi mengikut peredaran zaman.
Menurutnya, kemunculan teknologi baharu itu bukanlah medium untuk menggantikan kemahiran tradisional, sebaliknya berfungsi memperluaskan lagi dimensi kreativiti serta keupayaan pelajar dalam bidang masing-masing.
”Kalau dahulu banyak kerja dilakukan menggunakan tangan, lukisan dan sebagainya, kini dengan teknologi baharu seperti AI dan digitalisasi, ia dapat menambahkan lagi hasil kreativiti pelajar.
”Input daripada industri sangat penting supaya teknologi terkini yang diperlukan sektor pekerjaan turut diajar kepada pelajar,” jelasnya lagi.