Putrajaya: Suruhanjaya Pencegahan Rasuah Malaysia (SPRM) dan Biro Siasatan Persekutuan (FBI) Amerika Syarikat terus memperkukuh kerjasama menerusi perkongsian pengalaman, kepakaran serta pembangunan kapasiti dalam bidang penguatkuasaan.
Ketua Pesuruhjaya SPRM Datuk Seri Abd Halim Aman berkata, perkara itu antara yang dibincangkan dalam kunjungan hormat delegasi FBI yang diketuai Atase Penguatkuasaan Undang-Undang FBI Varinder Singh ke Ibu Pejabat SPRM, hari ini.
“Kerjasama strategik dengan FBI merupakan platform penting bagi memperkukuh keupayaan penguatkuasaan menerusi perkongsian pengalaman, kepakaran dan amalan terbaik, selain memberi manfaat kepada pembangunan kapasiti pegawai SPRM,” katanya dalam kenyataan hari ini.
Abd Halim berkata pertemuan hampir sejam itu turut membincangkan beberapa isu operasi, termasuk rasuah yang mempunyai kaitan dengan kegiatan penipuan serta penyelarasan antara agensi penguatkuasaan dalam menangani cabaran jenayah rentas sempadan.
Beliau berkata, kunjungan itu turut membuka ruang kepada kedua-dua pihak untuk meneroka bidang kerjasama baharu yang boleh diperkasakan pada masa hadapan, khususnya dalam aspek penguatkuasaan, perkongsian maklumat dan pembangunan kapasiti.
“Peluang untuk menyertai pelbagai program dan latihan yang dianjurkan FBI amat bernilai dalam memperkasa pengetahuan, kemahiran profesional serta keupayaan pegawai SPRM, di samping memberi ruang kepada perkongsian pengalaman dan amalan terbaik dalam bidang penguatkuasaan,” katanya.
Turut hadir ialah Pengarah Kanan Bahagian Operasi Khas SPRM Datuk YS Karunanithy, Pengarah Kanan Bahagian Perisikan SPRM Datuk Saiful Ezral Arifin, Pengarah Bahagian Perundangan dan Pendakwaan SPRM Datuk Saiful Hazmi Mohd Saad serta Penolong Atase Penguatkuasaan Undang-Undang FBI Cody Kirk.
© New Straits Times Press (M) Bhd
