am@hmetro.com.my
Kuala Lumpur: Jabatan Kemajuan Islam Malaysia (JAKIM) memandang serius dakwaan terdapat premis makanan menggunakan imej Islam serta ayat al-Quran untuk menarik pelanggan Muslim, walaupun status halal premis berkenaan tidak dapat dipastikan.
Ketua Pengarah JAKIM, Datuk Sirajuddin Suhaimee berkata, adalah ditegaskan penggunaan elemen seperti itu bukanlah bukti atau jaminan bahawa sesuatu premis sudah pun mematuhi keperluan halal yang ditetapkan oleh pihak berkuasa.
Menurutnya, takrif halal di bawah Perintah Perihal Dagangan (Takrif Halal) 2011 menekankan pematuhan menyeluruh terhadap hukum syarak, merangkumi bahan, proses, kebersihan serta rantaian pengendalian makanan
“Perenggan 3 Perintah Perihal Dagangan (Takrif Halal) 2011 dengan jelas menyatakan bahawa sesuatu makanan atau barangan yang diperihalkan sebagai halal hendaklah tidak mengandungi atau berasal daripada haiwan yang dilarang atau tidak disembelih mengikut hukum syarak, tidak mengandungi najis, tidak memabukkan, tidak mengandungi bahagian atau hasilan manusia, tidak beracun atau memudaratkan kesihatan serta tidak diproses menggunakan peralatan yang dicemari najis.
“Secara keseluruhannya, takrif halal menekankan pematuhan menyeluruh terhadap hukum syarak merangkumi aspek bahan, proses dan rantaian pengendalian,” katanya.
Namun pada masa sama, beliau berkata, penggunaan nama Melayu atau tulisan Jawi pada premis makanan tidak boleh secara automatik dianggap sebagai penyalahgunaan imej Islam atau dakwaan halal.
Katanya, elemen itu pada asasnya adalah identiti budaya dan penjenamaan perniagaan, diingatkan selagi ia tidak disertakan dengan dakwaan palsu atau unsur penipuan status halal.
“Nama Melayu atau istilah tempatan pada asasnya adalah elemen budaya dan identiti perniagaan dan tidak tertakluk kepada larangan selagi tidak menimbulkan unsur penipuan,” katanya.
© New Straits Times Press (M) Bhd
