am@hmetro.com.my
Kuala Lumpur: Keperluan mewujudkan satu Akta Halal khusus lebih komprehensif wajar dipertimbangkan kerajaan bagi memperkukuh penguatkuasaan serta menangani penyalahgunaan logo, istilah dan dakwaan halal.
Ketua Pengarah Jabatan Kemajuan Islam Malaysia (JAKIM) Datuk Dr Sirajuddin Suhaimee berkata, cadangan mewujudkan Akta Halal yang lebih komprehensif sememangnya sering dibincangkan kerana ia berpotensi memperkukuh ekosistem kawal selia halal negara.
Menurutnya, antara hujah yang menyokong kewujudan akta khusus itu ialah keupayaannya menyediakan kuasa yang lebih jelas dan menyeluruh dalam satu kerangka undang-undang, tanpa terlalu bergantung kepada pelbagai akta dan peruntukan berasingan.
“Pertama, ia boleh memberi kuasa yang lebih jelas dan menyeluruh dalam satu kerangka undang-undang tanpa bergantung kepada pelbagai akta berbeza.
“Dari sudut perundangan, penguatkuasaan berkaitan halal di Malaysia melibatkan beberapa akta yang ditadbir oleh agensi yang berbeza mengikut bidang kuasa masing-masing,” katanya.
Beliau berkata, Akta Halal khusus juga berpotensi memperkukuh tindakan penguatkuasaan terhadap penyalahgunaan logo, istilah dan dakwaan halal, termasuk membabitkan pihak yang bukan pemegang sijil halal.
Katanya, pada masa sama, kewujudan kerangka perundangan khusus yang lebih menyeluruh berpotensi meningkatkan lagi keyakinan pengguna serta industri antarabangsa terhadap integriti sistem halal Malaysia.
Bagaimanapun, Sirajuddin berkata, keperluan berkenaan perlu dilihat dengan mengambil kira perundangan sedia ada, keberkesanan penguatkuasaan dan implikasi pentadbiran.
Untuk rekod, ketika ini, aspek halal di Malaysia dikawal selia melalui beberapa instrumen perundangan, khususnya Akta Perihal Dagangan 2011 (Akta 730) serta undang-undang subsidiari di bawahnya, iaitu Perintah Perihal Dagangan (Perakuan dan Penandaan Halal) 2011 dan Perintah Perihal Dagangan (Takrif Halal) 2011.
Pengawalseliaan halal turut disokong enakmen berkaitan di peringkat negeri, Manual Prosedur Pensijilan Halal Malaysia (MPPHM), standard dan garis panduan yang dibangunkan JAKIM serta undang-undang lain yang dikuatkuasakan agensi berkaitan seperti Kementerian Perdagangan Dalam Negeri dan Kos Sara Hidup (KPDN), Kementerian Kesihatan (KKM) dan pihak berkuasa tempatan (PBT).
Sirajuddin berkata, penggubalan Akta 730, khususnya melalui Seksyen 28 dan Seksyen 29, telah menyediakan asas perundangan yang jelas dan komprehensif bagi mengawal selia penggunaan perihal halal di Malaysia.
Menurutnya, peruntukan itu memberi kuasa kepada Menteri untuk menetapkan perintah berkaitan pensijilan, penandaan dan takrif halal, sekali gus memastikan sebarang representasi atau dakwaan halal dibuat secara sah, tepat serta mematuhi kehendak syariah dan perundangan.
Namun begitu, beliau mengakui kepelbagaian peruntukan undang-undang sedia ada sedikit sebanyak memberikan cabaran dari aspek penyelarasan bidang kuasa dan keberkesanan penguatkuasaan antara pihak berkuasa yang terlibat.
“Begitu juga dalam aspek pelaksanaan, didapati masih terdapat beberapa kelompongan serta tidak sepenuhnya mampu menampung perkembangan pesat industri halal yang semakin kompleks dan merentas pelbagai sektor ekonomi,” katanya.
Dalam konteks itu, keperluan terhadap satu Akta Halal khusus boleh dilihat sebagai satu pilihan untuk menyatukan dan memperjelas kerangka perundangan, khususnya apabila industri halal berkembang melangkaui sektor makanan dan melibatkan pelbagai bidang ekonomi.
Pada masa sama, Sirajuddin menegaskan perkara yang lebih utama ketika ini ialah memastikan kerangka perundangan sedia ada terus diperkukuh, terutama dari segi penguatkuasaan, pendakwaan dan penyelarasan antara agensi supaya isu penyalahgunaan halal dapat ditangani dengan lebih tegas dan berkesan.
Beliau berkata, JAKIM menyedari perkembangan ekosistem dan industri halal yang semakin pesat serta dinamik menuntut kerangka tadbir urus dan perundangan yang sentiasa diperkasakan supaya kekal relevan dan responsif terhadap keperluan semasa.
Sehubungan itu, usaha memperkukuh tadbir urus dan kerangka perundangan halal telah dikenal pasti sebagai antara agenda strategik dalam penyediaan Dasar Halal Negara (DHN), yang kini berada pada fasa akhir pembangunan.
Dasar berkenaan dijangka menjadi dokumen hala tuju utama negara dalam memperkukuh ekosistem halal Malaysia supaya terus berdaya saing, berintegriti serta diiktiraf sebagai penanda aras di peringkat global.
Secara keseluruhannya, penjelasan Sirajuddin menunjukkan bahawa walaupun Malaysia sudah mempunyai kerangka undang-undang halal, terdapat ruang untuk memperkukuhnya.
Justeru, cadangan Akta Halal khusus mempunyai asas untuk terus dibincangkan, terutama dalam usaha menangani cabaran penguatkuasaan, kelompongan perundangan dan perkembangan industri halal yang semakin kompleks.
Undang-undang sedia ada perlu dipinda: PGSM
Kuala Lumpur: Penggubalan Akta Halal yang khusus sekiranya hendak dilaksanakan memerlukan penyelarasan dan pindaan kepada undang-undang sedia ada, menurut Persatuan Peguam Syarie Malaysia (PGSM).
Presiden PGSM Musa Awang berkata, ini kerana isu halal di Malaysia kini diletakkan di bawah pelbagai akta dan kementerian yang berbeza.
Beliau berkata, antara akta perlu pindaan adalah Akta Perihal Dagangan 2011 yang menurut akta itu, penguatkuasaan logo dan pensijilan halal pada masa kini di bawah Kementerian Perdagangan Dalam Negeri dan Kos Sara Hidup (KPDN).
“Begitu juga, Akta Makanan 1983 dan Akta Kawalan Mutu Makanan 1985 iaitu yang mengawal dari aspek keselamatan dan mutu makanan di bawah Kementerian Kesihatan (KKM).
“Selain itu bidang kuasa Persekutuan dan negeri: Hal ehwal Islam terletak di bawah bidang kuasa Dewan Undangan Negeri (DUN), manakala perdagangan dan sivil di bawah Parlimen. Sebarang akta khusus persekutuan memerlukan kejelasan bidang kuasa agar tidak bertindih antara kuasa Persekutuan dan negeri,” katanya.
Beliau berkata, pada 2023 kerajaan berpendirian menyatakan bahawa tiada keperluan mendesak untuk menggubal satu akta baharu khusus mengenai halal.
Menurutnya, sebab diberikan pada masa itu adalah ini kerana kerangka perundangan dan penguatkuasaan sedia ada melalui kerjasama Jabatan Kemajuan Islam Malaysia (JAKIM) dan KPDN sudah mencukupi untuk mengawal selia industri halal.
“Bagaimanapun, keperluan itu mungkin berubah mengikut situasi dan keperluan semasa.
“Antara isu-isu penguatkuasaan halal antaranya adalah, penggunaan logo halal palsu atau tiruan oleh peniaga tanpa kelulusan sah daripada JAKIM atau Jabatan Agama Islam Negeri (JAIN)/Majlis Agama Islam Negeri (MAIN), syarikat gagal mengekalkan piawaian kebersihan dan syariah selepas memperolehi pensijilan, penggunaan logo halal tamat tempoh serta lain-lain isu.
“Berlaku kekangan daripada penguatkuasaan kerana ia melibatkan banyak pihak seperti KPDN, JAKIM, JAIN/MAIN, KKM dan pihak berkuasa tempatan (PBT), yang kadangkala berdepan pula kekangan tenaga kerja serta koordinasi rentas agensi yang kompleks,” katanya.
Musa berkata, ketiadaan Akta Halal yang khusus juga mengakibatkan kesukaran untuk memantau status halal sebenar bahan mentah atau produk makanan yang dibawa masuk dari luar negara.
“Dari segi pengurusan dan penguatkuasaan, serta pengiktirafan antarabangsa untuk sijil halal Malaysia, meletakkan semua peruntukan yang berkaitan ‘halal’ dalam satu akta khusus adalah satu langkah terbaik.
“Suatu kajian khusus dan libat urus dengan pelbagai agensi perlu dijalankan untuk mendapatkan pandangan dan cadangan ke arah penambahbaikan untuk suatu akta halal khusus,” katanya.
© New Straits Times Press (M) Bhd
