nurul.hidayah@hmetro.com.my
Kuala Lumpur: Pagar Stesen Keretapi Tanah Melayu Berhad (KTMB) Anak Bukit, Alor Setar, Kedah yang masih berkunci sehingga jam 6.30 pagi tadi, menyebabkan beberapa penumpang mengambil jalan pintas dengan memanjat pagar terbabit untuk masuk ke stesen berkenaan.
Kejadian itu tular selepas seorang pengguna memuat naik gambar dan video beberapa individu memanjat pagar stesen berkenaan di media sosial pagi tadi.
Berdasarkan hantaran dimuat naik itu, pemilik akaun Threads, ‘ashirahzakri’ memaklumkan, beberapa individu sempat menaiki tren, namun ada juga yang tidak sempat walaupun selepas memanjat pagar berkenaan.
“Ada yang sempat, saya selaku wanita yang lemah tak sempat tetapi (ada) yang berjaya lompat pagar pun tren berlalu pergi,” tulisnya.
Sementara itu, KTMB dalam hantaran berkenaan memaklumkan, kakitangannya yang ditugaskan pada waktu itu tiba-tiba berdepan hal kecemasan.
“Hai. Mohon maaf atas kesulitan yang dialami. Terdapat kecemasan yang tidak dapat dielakkan membabitkan kakitangan yang ditugaskan pada waktu tersebut.
“Bagaimanapun, tindakan segera diambil dan pintu masuk stesen sudah dibuka oleh kakitangan gantian bagi memastikan operasi dapat diteruskan seperti biasa,” tulisnya.
Katanya, KTMB memandang serius perkara berkenaan dan akan mengambil langkah penambahbaikan yang sewajarnya.
“Sekali lagi, KTMB memohon maaf atas kesulitan yang berlaku,” katanya.
© New Straits Times Press (M) Bhd
