Kuala Lumpur: Pelakon dan pengarah, Ellie Suriaty Omar, 54, mencadangkan semua pementasan teater di negara ini melalui proses tapisan Kementerian Dalam Negeri (KDN) bagi mengelak karya menyentuh sensitiviti membabitkan Rukun Negara dan institusi Raja.
Ellie berkata, cadangan itu dikemukakan susulan isu pementasan sebuah kumpulan teater yang kembali tular di media sosial, baru-baru ini.
“Saranan saya mungkin agak keras, tetapi selepas berlaku pementasan teater yang sangat merosakkan nama baik Malaysia, mungkin setiap penerbitan, tidak kira teater Melayu, Inggeris, Cina atau Tamil, semua harus melalui KDN.
“Begitu juga dengan filem, apa-apa filem yang bersangkut paut dengan polis dan senjata api perlu melalui Bukit Aman.
“Jadi, teater seharusnya melalui proses sama di mana KDN perlu tapis terlebih dahulu skrip bagi mengelak naskhah yang boleh menjejaskan kerukunan dan keamanan rakyat,” katanya ditemui pada majlis pratonton telefilem Miselia di Angkasapuri Kota Media, di sini, baru-baru ini.
Ellie berkata, insiden teater ‘panas’, This Is Malaysia yang didakwa berlaku pada 2017 dan kembali mendapat perhatian perlu dipandang serius kerana kandungannya menyentuh prinsip Rukun Negara.
Menurutnya, KDN dan Kementerian Komunikasi juga wajar menyiasat pihak yang membiayai pementasan berkenaan bagi mengetahui latar belakang serta tujuan karya itu dihasilkan.
“Kementerian Komunikasi harus menyiasat siapakah pembiaya yang membiayai projek teater itu.
“Ini sangat spesifik, bukan karya yang rawak kerana mereka memang nampak seperti sengaja mahu menghentam Rukun Negara,” katanya.
Ellie menyifatkan kandungan sedemikian sebagai ‘jarum-jarum halus’ yang berpotensi mempengaruhi pemikiran kelompok tertentu, khususnya apabila Rukun Negara dijadikan bahan ejekan.
“Jangan kita lupa, Rukun Negara digubal pada 1970 untuk menyatupadukan semula kaum selepas peristiwa 13 Mei 1969.
“Rukun Negara adalah benteng keselamatan negara. Jika ada kumpulan yang mengejek kedaulatan undang-undang dan raja, adakah mereka cuba memberi idea untuk menjatuhkan institusi beraja kita?” tegasnya.
Katanya, tindakan kumpulan teater itu juga perlu disiasat pihak berkuasa sekiranya didapati melanggar undang-undang.
“Ini adalah satu kesalahan yang serius dan patut disiasat. Rukun Negara diajar kepada budak sekolah, tetapi kumpulan itu sesuka hati mengejek segala yang ada dalam Rukun Negara.
“Apabila mereka mengejek soal kedaulatan undang-undang, soal raja dan sebagainya, jadi KDN kenalah siasat,” katanya.
© New Straits Times Press (M) Bhd

