Jam sudah menunjukkan 6.30 pagi, namun pintu pagar Stesen Keretapi Tanah Melayu Berhad (KTMB) Anak Bukit di Alor Setar masih berkunci sehingga memaksa beberapa penumpang mengambil jalan pintas dengan memanjat pagar untuk memasuki stesen berkenaan.

Situasi itu tular selepas seorang pengguna Threads mempersoalkan keadaan itu menerusi satu hantaran pagi tadi, selain menandakan akaun rasmi KTMB untuk mendapatkan penjelasan.
“Apa benda ni KTM Anak Bukit? Pintu pagar berkunci? Dah pukul 6.30 pagi mana kakitangan? @ktmbofficial,” tulisnya.

Hantaran tersebut turut disertakan beberapa keping gambar dan video yang memaparkan segelintir penumpang terpaksa memanjat pagar untuk masuk ke kawasan stesen.

Perkongsian itu kemudian mendapat perhatian KTMB yang tampil memberikan penjelasan menerusi ruangan komen hantaran terbabit.
KTMB memaklumkan, keadaan itu berlaku susulan kecemasan yang tidak dapat dielakkan membabitkan kakitangan yang ditugaskan pada waktu berkenaan.
“Hai. Mohon maaf atas kesulitan yang dialami.
“Terdapat kecemasan yang tidak dapat dielakkan melibatkan kakitangan yang ditugaskan pada waktu tersebut,” katanya.

Menurut KTMB, tindakan segera telah diambil bagi memastikan akses ke stesen dapat dibuka dan operasi perkhidmatan diteruskan seperti biasa.
“Walau bagaimanapun, tindakan segera telah diambil dan pintu masuk stesen telah dibuka oleh kakitangan gantian bagi memastikan operasi dapat diteruskan seperti biasa.
“KTMB memandang serius perkara ini dan akan mengambil langkah penambahbaikan yang sewajarnya.
“Sekali lagi, KTMB memohon maaf atas kesulitan yang berlaku,” ujarnya.
Sumber: Threads ashirahzakri

