BERKAKI ayam, sempat menguap dan kelihatan cukup bersahaja di kerusi simulator, namun di sebalik aksi yang mencuri perhatian itu, Taj Izrin Aiman Taj Madira mengarap sejarah buat Malaysia.
Atlet e-sukan berusia 27 tahun itu muncul atlet e-sukan pertama negara memenangi pingat emas Sukan Asia selepas mengungguli acara Gran Turismo 7 (GTZ) Sukan Aichi-Nagoya 2026 Rabu lalu.
Sebelum mengapai kejayaan itu, penampilan Taj Izrin ketika beraksi menjadi bahan perbualan di media sosial apabila pengguna tertanya-tanya mengapa dia bertanding tanpa kasut dan sempat menguap ketika perlumbaan.
Seorang pengguna Threads, Joohnlabu, turut berkongsi kisah isterinya yang menyifatkan atlet Malaysia itu agak pelik kerana beraksi berkaki ayam dengan wajah seperti mengantuk.
Namun, ‘pelik’ itu akhirnya bertukar menjadi cerita manis apabila Taj Izrin menamatkan saingan dengan kilauan emas.
Rupa-rupanya, berkaki ayam bukan kerana mahu mencuri perhatian, sebaliknya pilihan itu dibuat kerana dia berasa lebih selesa ketika mengendalikan simulator.
“Saya pakai kasut ketika berlatih, cuma kali ini saya selesa dengan berkaki ayam,” katanya.

Aksi bersahaja Taj Izrin sekadar berkaki ayam ketika bersaing dalam perlumbaan GT7. Foto: Bernama
Pilihan itu turut mempunyai alasan teknikal apabila keadaan tanpa kasut membolehkannya merasai kawalan pedal dengan lebih baik.
“Saya berasa lebih selesa dan berupaya mengawal tekanan pedal brek dengan lebih peka dalam keadaan suhu di venue pertandingan,” katanya.
Keputusan itu ternyata tidak menjejaskan tumpuannya apabila Taj Izrin menamatkan dua perlumbaan awal di tempat kedua sebelum memastikan kemenangan dalam perlumbaan terakhir yang menawarkan mata berganda.
Dia mengharungi 17 pusingan pada perlumbaan penentuan itu untuk muncul juara dengan kelebihan lebih empat saat berbanding pencabar dari Korea Selatan dan Jepun.
Kemenangan itu membolehkan Taj Izrin mengumpul 36 mata keseluruhan, manakala Naif Al Faleh dari Arab Saudi dan Kim Young Chan dari Korea Selatan masing-masing mengumpul 25 mata untuk menduduki tempat kedua dan ketiga.
Namun, kisah kejayaan Taj Izrin sebenarnya tidak bermula di Aichi kerana dia mula serius dalam dunia simulator sekitar 2020.
Enam tahun pengalaman menyertai pelbagai pertandingan, termasuk menelan kekalahan kepada pelumba Indonesia, Hong Kong dan Jepun, menjadi asas penting kepada kejayaannya.
Jepun pula mempunyai tradisi kuat dalam Gran Turismo, menjadikan cabaran di Aichi bukan sesuatu yang asing buat Taj Izrin.
Pada 2024, dia muncul juara Toyota GR GT Cup Asia dengan 65 mata sebelum mewakili Asia pada GR GT Cup Global Finals.
Perjalanan itu turut membawanya berada di bawah bimbingan bekas pelumba Formula 1 negara, Alex Yoong yang membantu Taj Izrin mengurus aspek teknikal selain mengawal tekanan ketika perlumbaan.
Alex bukan sekadar membimbingnya dari sudut perlumbaan simulator, malah membantu membentuk keyakinan dan ketenangannya ketika berdepan situasi sukar.
Dalam perlumbaan terakhir di Aichi, Taj Izrin mengakui dia sempat jatuh ke kedudukan keempat dan kelima sebelum kembali mendapatkan rentak.
“Jurulatih saya (Alex) sentiasa berpesan supaya kekal tenang dan mengajar teknik pernafasan. Walaupun sempat turun ke kedudukan P4 dan P5, moto ‘tetap tenang’ membolehkan saya bangkit semula sehingga mengesahkan P1 pada perlumbaan penentuan,” katanya.

Taj Izrin tenang mengawal perlumbaan biarpun pada satu ketika tergelincir ke kedudukan kelima dan keempat. Foto: Bernama.
Lebih menarik, tiket ke Sukan Asia juga bukan diberikan begitu sahaja apabila Malaysia hanya mempunyai satu slot bagi acara Gran Turismo 7.
Taj Izrin perlu bersaing dalam kem pemilihan bersama dua lagi nama besar, Naquib Azlan dan Nabil Azlan, sebelum dipilih membawa cabaran negara.
Sebab itu, emas yang dimenanginya bukan lahir daripada kejayaan semalaman, sebaliknya hasil enam tahun membina pengalaman, menelan kekalahan dan terus mengasah kemahiran.
Sebelum berangkat ke Jepun, Taj Izrin dan pasukannya juga tidak meletakkan emas sebagai sasaran utama kerana matlamat awal mereka hanyalah memastikan tempat ke final dan cuba mendapatkan pingat.
“Sasaran kami memang ke final dan mungkin dapat pingat, tetapi pingat emas itu tak pernah terfikir. Kami cuma terus fokus dan Alhamdulillah rezeki memihak kepada kita,” katanya.
Apabila peluang emas terbuka pada perlumbaan terakhir, Taj Izrin tidak mensia-siakannya. Berkaki ayam, sempat menguap dan tampil tenang akhirnya menjadi antara cerita paling unik daripada kejayaan Malaysia di Aichi.
Ini kerana apabila perlumbaan berakhir yang tinggal bukan lagi persoalan mengapa dia berkaki ayam atau menguap, tetapi emas.