Kes 1MDB: Najib mohon gantung hukuman penjara 15 tahun, denda RM11.38 bilion

Kes 1MDB: Najib mohon gantung hukuman penjara 15 tahun, denda RM11.38 bilion

Mahkamah Tinggi hari ini dijadual mendengar permohonan Datuk Seri Najib Tun Razak untuk menggantung pelaksanaan hukuman penjara 15 tahun serta denda RM11.38 bilion yang dikenakan terhadapnya dalam kes penyelewengan RM2.3 bilion dana 1Malaysia Development Berhad (1MDB).

Kes 1MDB: Najib mohon gantung hukuman penjara 15 tahun, denda RM11.38 bilion

Foto: The Independent

Memetik laporan MalaysiaGazette, berdasarkan semakan di laman web kehakiman, permohonan bekas Perdana Menteri itu akan didengar di hadapan Hakim Noor Ruwena Md. Nurdin.

Permohonan berkenaan difailkan kira-kira sembilan bulan selepas Hakim Datuk Collin Lawrence Sequerah, yang kini merupakan Hakim Mahkamah Persekutuan, menjatuhkan hukuman terhadap Najib pada 26 Disember tahun lalu.

Dalam keputusan tersebut, Hakim Collin merekodkan bahawa Najib tidak memohon penangguhan pelaksanaan hukuman pada ketika itu, namun beliau bebas mengemukakan permohonan berkenaan pada masa akan datang.

Mahkamah sebelum ini memerintahkan hukuman penjara 15 tahun itu berjalan serentak selepas Najib selesai menjalani baki hukuman penjara bagi kes SRC International.

Permohonan yang dikemukakan Najib untuk menggantung pelaksanaan hukuman penjara dan denda berkenaan dipercayai mempunyai kaitan dengan perintah tahanan rumah yang diperkenankan Yang di-Pertuan Agong (YDPA), Sultan Ibrahim, minggu lalu.

Pada 18 September lalu, Seri Paduka memperkenankan pengampunan bersyarat kepada Najib bagi membolehkan beliau menjalani baki hukuman secara tahanan di rumah sehingga 23 Ogos 2028, tertakluk kepada pembayaran denda RM50 juta serta syarat-syarat yang ditetapkan.

Dalam pada itu, media melaporkan bahawa tiada tempoh atau had masa khusus ditetapkan kepada bekas Perdana Menteri itu untuk menjelaskan denda RM50 juta yang menjadi salah satu syarat bagi membolehkan beliau menjalani baki hukuman penjara di rumah.

Najib memohon supaya pelaksanaan hukuman penjara 15 tahun dan denda RM11.38 bilion digantung selepas beliau disabitkan atas empat pertuduhan menyalahgunakan kedudukan bagi mendapatkan RM2.3 bilion dana 1MDB.

Sekiranya denda berkenaan gagal dibayar, mahkamah sebelum ini menetapkan hukuman penjara tambahan 10 tahun bagi setiap pertuduhan.

Selain itu, Hakim Collin turut menjatuhkan hukuman penjara lima tahun bagi setiap satu daripada 21 pertuduhan pengubahan wang haram membabitkan jumlah dana yang sama, tanpa denda.

Mahkamah turut memerintahkan Najib membayar jumlah boleh dipulihkan sebanyak RM2,081,476,926 mengikut Seksyen 55(2) Akta Pencegahan Pengubahan Wang Haram, Pencegahan Pembiayaan Keganasan dan Hasil Daripada Aktiviti Haram (AMLA).

Kegagalan membayar jumlah tersebut boleh menyebabkan beliau dikenakan hukuman penjara selama dua tahun enam bulan.

Bekas Ahli Parlimen Pekan itu didapati melakukan kesalahan salah guna kedudukan di AmIslamic Bank Berhad, Bukit Ceylon, Kuala Lumpur, antara 24 Februari 2011 hingga 19 Disember 2014. Bagi pertuduhan pengubahan wang haram pula, kesalahan tersebut berlaku antara 22 Mac 2013 hingga 30 Ogos 2013 di lokasi sama.

Artikel lain: “Kami betul-betul tak tahu!” – Nooryana dedah keluarga belum terima SOP tahanan rumah Najib

Bagi empat pertuduhan salah guna kuasa, Najib didakwa mengikut Seksyen 23(1) Akta Suruhanjaya Pencegahan Rasuah Malaysia (SPRM), yang memperuntukkan hukuman penjara sehingga 20 tahun serta denda sehingga lima kali ganda jumlah atau nilai suapan atau RM10,000, mengikut mana-mana yang lebih tinggi, jika disabitkan kesalahan.

Sementara itu, 21 pertuduhan pengubahan wang haram terhadapnya dibuat mengikut Seksyen 4(1)(a) Akta Pencegahan Pengubahan Wang Haram dan Pencegahan Pembiayaan Keganasan (AMLATFA), yang memperuntukkan hukuman denda maksimum RM5 juta dan penjara sehingga lima tahun atau kedua-duanya sekali.

Sumber: MalaysiaGazette (Norlizah Abaas)

Scroll to Top