Anak Duta Israel ke AS parah dirempuh kenderaan

BAITULMAQDIS – Neria Leiter, anak kepada Duta Israel ke Amerika Syarikat (AS), Yechiel Leiter, cedera parah selepas dirempuh sebuah kenderaan di sebuah Pusat Pemeriksaan Keselamatan Israel di Tebing Barat pada Rabu.

Neria yang merupakan anggota simpanan tentera Israel (IDF) ketika itu sedang bertugas bersama seorang anggota polis di pusat pemeriksaan Bell (Pusat Pemeriksaan Keselamatan Israel), berhampiran Laluan 443 yang menghubungkan Baitulmaqdis dan Tel Aviv.

Menurut tentera dan polis Israel, pemandu kenderaan berkenaan memecut ke arah sebuah kenderaan polis sebelum merempuh Neria.

Tentera Israel mendakwa kejadian itu sebagai serangan rempuhan kenderaan.

Perkhidmatan ambulans Magen David Adom memaklumkan Neria tidak sedarkan diri ketika menerima rawatan kecemasan sebelum dibawa ke Pusat Perubatan Shaare Zedek di Baitulmaqdis.

Ketua Unit Trauma hospital itu, Dr Alon Schwartz berkata, Neria menjalani pembedahan otak kecemasan selama beberapa jam.

Menurutnya, keadaan Neria kemudian stabil, namun masih serius dan nyawanya masih terancam.

Beliau berkata, kecederaan di kepala merupakan kecederaan paling parah dialami Neria, manakala beberapa pasukan perubatan terus merawatnya.

Neria dilaporkan terus berkhidmat sebagai anggota simpanan IDF selepas kehilangan abangnya, Moshe Yedidya Leiter, yang terbunuh bersama tiga anggota simpanan Israel lain di utara Gaza pada November 2023. – Agensi

Scroll to Top