Farish harap eFootball tidak lagi dianaktirikan

sukan@hmetro.com.my

Kuala Lumpur: Pengorbanan menangguhkan pelajaran dan menjalani latihan lebih 12 jam sehari selama enam bulan akhirnya berbaloi buat pemain eFootball negara, Farish Luzman apabila menghadiahkan pingat perak pada Sukan Asia Aichi-Nagoya 2026.

Pemain berusia 18 tahun itu mengakui terpaksa mengetepikan sementara pelajaran selepas tamat Sijil Pelajaran Malaysia (SPM) tahun lalu bagi memberi tumpuan sepenuhnya kepada persiapan menghadapi temasya terbesar Asia itu.

“Sebahagian pelajaran saya korbankan kerana baru habis SPM tahun lalu dan saya tangguhkan pelajaran sehingga tamat Sukan Asia kerana mahu membawa nama negara di Sukan Asia.

“Saya juga korbankan masa untuk latihan dan kami kadang-kadang berlatih lebih 12 jam sehari. Kami berlatih dari petang hingga malam, berehat untuk solat dan makan sebelum menyambung latihan sehingga lewat malam,” katanya.

Pengorbanan itu ternyata membuahkan hasil apabila Farish bersama gandingannya, Muhammad Hariz Hazmi Hakimin berjaya melangkah ke final sebelum tewas 2-4 kepada Iran sekali gus melepasi sasaran awal persatuan yang mengharapkan mereka meraih gangsa.

Bagi Farish, pencapaian itu di luar jangkaan, namun mereka sentiasa meletakkan sasaran untuk memberikan yang terbaik buat negara meskipun akhirnya terlepas peluang meraih emas.

“Kami dapat pingat perak walaupun tidak dapat emas, tetapi alhamdulillah. Daripada pencapaian ini, kami boleh membantu komuniti eFootball untuk berkembang lebih besar dan mungkin mewujudkan liga tahun depan bagi mengekalkan momentum menjelang Sukan SEA atau Sukan Asia akan datang,” katanya.

Dalam pada itu, Farish berharap lebih banyak pendedahan di luar negara dapat diberikan kepada pemain eFootball tempatan bagi membantu mereka meningkatkan pengalaman dan tahap permainan.

“Kami kalau boleh mahu MSN atau MESF memberikan lebih banyak pendedahan kepada kami di negara luar. Seperti kita tahu, Malaysia banyak memberi perhatian kepada MLBB dan eFootball agak dianaktirikan,” katanya.

© New Straits Times Press (M) Bhd

Scroll to Top