am@hmetro.com.my
Kuala Lumpur: Pemerhati Rasuah Malaysia (MCW) memandang serius data dikeluarkan Perbadanan Pengurusan Sisa Pepejal dan Pembersihan Awam (SWCorp) mengenai 3,723 tapak haram pelupusan sampah dikesan seluruh negara.
Presiden Pemerhati Rasuah Malaysia (MCW) Jais Abdul Karim berkata, angka sebesar itu walaupun hanya 81 sahaja yang masih aktif, menunjukkan penyelesaian tidak boleh terhad kepada operasi membersihkan sampah.
Menurutnya, kerajaan perlu melihat keseluruhan rantaian ekonomi pelupusan sampah secara haram itu.
“Isu ini perlu dilihat segenap aspek. Siapa menghasilkan sisa, siapa mengambil kontrak, siapa mengangkut, ke mana ia sepatutnya dihantar dan akhirnya di mana ia dibuang.
“Laporan Harian Metro menunjukkan antara faktor pendorong ialah usaha mengelakkan ‘tipping fee’, menjimatkan bahan api dan masa perjalanan.
“Oleh itu, kerajaan perlu mengkaji semula lokasi, kapasiti dan struktur kos kemudahan pelupusan yang sah,” katanya.
Harian Metro secara eksklusif hari ini melaporkan, ada tawaran harga bayaran lebih murah kepada pelanggan untuk membuang sampah.
Itu taktik pengusaha atau pemandu lori mengambil sisa sampah sebelum dibuang secara haram di kawasan terpencil, tepi rizab jalan atau tanah terbiar.
Bagi mengelak perbuatan mereka dikesan, kegiatan itu akan dilakukan pada lewat malam atau awal pagi dan dipercayai dilindungi atau berkomplot dengan pihak tertentu untuk mengelak dikenakan tindakan.
Timbalan Ketua Pegawai Eksekutif (Pengurusan) SWCorp Shahrul Nizam Saleh dipetik berkata, sebanyak 3,723 lokasi tapak haram pembuangan sampah berjaya dikesan, ditutup dan dibersihkan bagi tempoh 2024 hingga Julai 2026, dengan 81 lokasi masih aktif atau berulang.
Mengulas lanjut, Jais berkata, MCW mencadangkan kemudahan pemindahan sisa yang lebih strategik berhampiran kawasan bandar juga boleh dipertimbangkan supaya kontraktor tidak mempunyai alasan bahawa tapak sah terlalu jauh atau mahal.
“MCW turut mencadangkan kerajaan mempercepat penggunaan teknologi seperti GPS wajib pada kenderaan pengangkut sisa, rekod digital perjalanan dan pelupusan, penggunaan kamera litar tertutup (CCTV) di hotspot serta sistem e-manifest yang membolehkan setiap muatan dijejaki daripada tempat kutipan sehingga kemudahan pelupusan yang diluluskan.
“Mengenai ‘waste-to-energy’ atau insinerator moden, ia wajar dinilai sebagai sebahagian daripada penyelesaian jangka panjang berdasarkan kesesuaian lokasi, kos, keselamatan alam sekitar dan kapasiti sebenar. Ia bukan penyelesaian tunggal,” katanya.
Beliau berkata, paling penting juga, apabila sesuatu tapak sudah ditutup kembali beroperasi berkali-kali, kerajaan perlu mempersoalkan siapa yang membenarkan, siapa mendapat keuntungan dan adakah terdapat unsur perlindungan atau rasuah.
Jais berkata, MCW mencadangkan operasi bersama SWCorp, pihak berkuasa tempatan (PBT), Polis Diraja Malaysia (PDRM) dan Suruhanjaya Pencegahan Rasuah Malaysia (SPRM) bagi kes yang mempunyai petunjuk rasuah atau penyalahgunaan kuasa.
“Jangan hanya tangkap pemandu lori. Jika terdapat rangkaian terancang, jejaki aliran wang dan pihak yang berada di belakangnya.
“Masalah tapak haram pelupusan sampah bukan semata-mata masalah kebersihan.
“Apabila pelanggaran berlaku secara berulang dan menghasilkan keuntungan, ia juga persoalan integriti, tadbir urus dan keberkesanan penguatkuasaan,” katanya.
© New Straits Times Press (M) Bhd
