Undang Yang Empat mendakwa kemelut berhubung kedudukan Raja Pemerintah Negeri Sembilan berpunca daripada tohmahan pihak tertentu yang didakwa cuba mencabuli prerogatif serta hak perlembagaan mereka.
Kenyataan bersama Undang Yang Empat dan Tunku Besar Tampin itu dibacakan Undang Luak Sungei Ujong, Datuk Mubarak Dohak, pada sidang media di Kediaman Rasmi dan Balai Undang Luak Sungei Ujong di Ampangan, hari ini.
Tolak dakwaan MB bertanggungjawab atas penurunan takhta
Menerusi kenyataan tersebut, mereka menolak dakwaan bahawa Menteri Besar, Datuk Seri Ismail Lasim bersama barisan Ahli Majlis Mesyuarat Kerajaan Negeri (MMKN) bertanggungjawab terhadap penurunan takhta Tuanku Muhriz ibni Almarhum Tuanku Munawir.
Sebaliknya, mereka mendakwa dakwaan itu merupakan fitnah yang dirancang demi kepentingan peribadi pihak tertentu yang didakwa menjadi punca kepada kemelut berpanjangan.
“Tohmahan pihak tertentu bahawa penurunan takhta Tuanku Muhriz telah dibuat oleh Menteri Besar serta Exco adalah satu fitnah jahat yang dirancang demi kepentingan peribadi kumpulan tertentu yang sebenarnya adalah asalnya punca dan dalang kepada kemelut berpanjangan ini.
“Menteri Besar dan Exco sama sekali tidak mempunyai kuasa itu sebaliknya hanya melaksanakan tugas perlembagaan bagi mematuhi ketetapan Kami selaku Undang Yang Empat di bawah Perkara 10 UUTKNS 1959 di samping memelihara kedudukan Kami sebagai Raja Pemerintah Negeri ini sebagaimana yang termaktub dalam Perkara 28 UUTKNS 1959,” katanya.
Minta pihak luar tak campur tangan
Dalam pada itu, mereka turut mengingatkan pihak luar supaya tidak mencampuri urusan pemerintahan Negeri Sembilan, termasuk sebarang tindakan yang boleh menjejaskan pentadbiran eksekutif kerajaan negeri.
Mereka berkata perkara itu perlu dielakkan selaras dengan prinsip keluhuran Perlembagaan dan konsep federalisme.
“Kami juga menegaskan supaya semua pihak luar yang tiada kena-mengena dengan hal adat Melayu dan pemerintahan Kerajaan Negeri ini terutamanya parti politik pembangkang untuk tidak menaguk di air keruh dan memutarbelitkan fakta sehingga mengeluarkan komen jelek terhadap kerajaan negeri dan Institusi Adat serta Pemerintahan Negeri Sembilan.
“Tiada mana-mana parti politik yang mempunyai kuasa menurunkan mana-mana Raja. Kuasa itu diperuntukkan semata-mata kepada punca kuasa yang sah dan konteks Negeri Sembilan ia adalah kuasa Undang Yang Empat,” katanya.
Sumber: Facebook Luak Sungei Ujong




