Bedah mata di Hospital Serdang, SPRM tangguh dulu pengambilan keterangan Isa Samad

Bedah mata di Hospital Serdang, SPRM tangguh dulu pengambilan keterangan Isa Samad

am@hmetro.com.my

Putrajaya: Suruhanjaya Pencegahan Rasuah Malaysia (SPRM) akan menyambung semula pengambilan keterangan Datuk Isa Samad, yang kini dipenjarakan di Penjara Sungai Buloh selepas kesihatan bekas Pengerusi FELDA itu kembali pulih.

Ketua Pesuruhjaya Suruhanjaya Pencegahan Rasuah Malaysia, Datuk Seri Abd Halim Aman berkata, Isa ketika ini sedang dirawat di Hospital Serdang kerana menjalani pembedahan mata.

Beliau berkata, SPRM tidak boleh menghentikan pengambilan keterangan daripada veteran politik itu kerana ia penting untuk siasatan penyelewengan FELDA.

“Berhubung keterangan Isa, kita terpaksa ‘hold’ dahulu kerana sepatutnya ia (keterangan) diambil semalam dan hari ini tetapi memandangkan beliau tak sihat, dihantar ke Hospital Serdang untuk menjalani pembedahan mata, maka kita tangguhkan dulu.

“Kita akan rakam semula percakapan beliau selepas mendapat maklumat (status kesihatan) daripada Jabatan Penjara.

“Apabila sudah sihat, maka kita akan sambung perakaman kenyataan itu. Banyak lagi nak dirakamkan daripada beliau,” katanya.

Media sebelum ini melaporkan, pegawai penyiasat SPRM sedang merakam keterangan bekas Pengerusi FELDA di Penjara Sungai Buloh sebagai sebahagian daripada siasatan membabitkan FELDA dan Felda Investment Corporation Sdn Bhd (FIC).

Abd Halim berkata, proses merakam keterangan Isa bermula pada 17 September lalu dan diteruskan semalam.

© New Straits Times Press (M) Bhd

Scroll to Top