hafidzul@hmetro.com.my
Kuala Lumpur: Keluarga mangsa tikam di sebuah sekolah di Bandar Utama, Petaling Jaya, Selangor mengesahkan akan memulakan tindakan sivil, selain akan memberi kerjasama penuh kepada Jabatan Peguam Negara (AGC) berhubung rayuan kes berkenaan.
Ibu mangsa, Wong Lee Ping berkata, pihaknya sudah melantik peguam secara rasmi bagi memulakan prosiding saman sivil terhadap pihak berkaitan untuk menuntut pertanggungjawaban, khususnya kemungkinan wujud unsur kecuaian dalam mencegah kejadian itu.
Dia berkata, pihak yang bakal dinamakan dalam tuntutan sivil itu akan ditentukan kemudian selepas penelitian dan pertimbangan dibuat oleh pasukan peguam keluarga.
“Sehingga hari ini, masih ada satu persoalan yang bermain di fikiran saya… adakah tragedi ini benar-benar tidak dapat dicegah?” katanya pada sidang media yang turut dihadiri Ahli Parlimen Kepong, Lim Lip Eng, di sini, hari ini.
AGC sebelum ini memfailkan notis rayuan terhadap keputusan Mahkamah Tinggi yang membebaskan seorang remaja lelaki berusia 15 tahun daripada pertuduhan membunuh mangsa, Yap Shing Xuen.
Sementara itu, Lip Eng berkata, pasukan peguam di pusat khidmatnya akan memberikan sokongan perundangan sepenuhnya kepada keluarga mangsa.
Beliau berkata, pihaknya turut melantik peguam, Chia Hui Ming bagi membantu Timbalan Pendakwa Raya dalam proses rayuan kes berkenaan.
“Pada 22 September lalu, AGC secara rasmi sudah memfailkan notis rayuan di Mahkamah Rayuan berhubung keputusan Mahkamah Tinggi berkenaan.
“Langkah ini jelas menunjukkan pendirian rasmi bahawa keputusan Mahkamah Tinggi itu tidak dipersetujui,” katanya.
Dalam pada itu, Hui Ming berkata, pasukannya ketika ini belum mendapat akses kepada dokumen penting kes berkenaan, termasuk keterangan saksi dan laporan perubatan.
Katanya, tanpa penelitian menyeluruh terhadap semua bahan bukti, adalah tidak wajar untuk pihaknya membuat sebarang kesimpulan atau campur tangan dalam proses pembuktian oleh pihak pendakwaan.
“Lagipun, pihak pendakwaan sudah mengemukakan rayuan dan perkara ini sewajarnya diserahkan kepada Mahkamah Rayuan untuk membuat keputusan muktamad selepas meneliti keseluruhan bukti,” katanya.
© New Straits Times Press (M) Bhd




