Bukan semua orang yang datang ke karnival kerjaya pulang dengan tangan kosong.
Menerusi Karnival LINDUNG Kerjaya MYFutureJobs yang berlangsung sempena Festival Mega iLINDUNGu: KESUMA Bersama Rakyat di Strand Mall pada hujung minggu lalu, seramai 523 pencari kerja berjaya mendapat pekerjaan dengan tawaran gaji sehingga RM5,000.


Menurut Pertubuhan Keselamatan Sosial (PERKESO), pencapaian itu menunjukkan bagaimana platform seperti MYFutureJobs boleh membantu mempertemukan pencari kerja dengan peluang yang bersesuaian dengan kemahiran serta keperluan industri.
Bukan Setakat Cari Kerja, Ada Bantuan Untuk Yang Nak Beralih Kerjaya

Dalam festival yang sama, Menteri Sumber Manusia, Dato’ Sri Ramanan Ramakrishnan, turut mengumumkan beberapa pindaan kepada Akta Sistem Insurans Pekerjaan 2017 (Akta 800) yang akan berkuat kuasa mulai 1 Oktober 2026.
Antaranya ialah peningkatan Elaun Bekerja Semula Awal (EBSA) kepada 50 peratus daripada baki Elaun Mencari Pekerjaan (EMP).
Bagi penerima EMP atau EBSA yang berjaya mendapatkan pekerjaan baharu, tetapi lokasi pekerjaan baharu adalah lebih 100 kilometer dari tempat tinggal, mereka layak menerima Elaun Bantuan Mobiliti sebanyak RM1,000 secara sekali bayar.
Selain itu, Fi Latihan dinaikkan sehingga maksimum RM7,000, manakala Elaun Latihan ditetapkan pada kadar tetap RM30 sehari.
Lebih RM1.5 Juta Untuk Caruman PERKESO Penggiat Gig

Bukan pekerja makan gaji sahaja yang diberi perhatian. Penyedia perkhidmatan gig seperti Foodpanda, Grab Malaysia dan HALO Delivery turut mengumumkan tajaan bagi membiayai caruman PERKESO dengan nilai keseluruhan melebihi RM1.5 juta.
Langkah ini dilihat dapat membantu memperkukuh perlindungan sosial untuk penggiat sektor gig.
Majikan Pun Dapat Manfaat

Festival Mega iLINDUNGu turut memberi ruang kepada majikan untuk mendapatkan pelbagai perkhidmatan berkaitan PERKESO.
Sepanjang Sabtu dan Ahad, Bahagian Caruman dan Penguatkuasaan PERKESO merekodkan urusan Faedah Caruman Lewat Bayar (FCLB) bernilai RM1.02 juta. Daripada jumlah tersebut, diskaun FCLB sebanyak 80 peratus kepada majikan yang layak berjumlah RM818,238.
Sepanjang tiga hari penganjuran pula, seramai 2,654 majikan mendapatkan perkhidmatan di bahagian berkenaan, termasuk urusan FCLB yang melibatkan 748 majikan serta pelbagai urusan lain berkaitan PERKESO.
Festival Mega iLINDUNGu Catat Kehadiran Lebih 45,000 Pengunjung

Selain peluang pekerjaan dan urusan majikan, kaunter perlindungan sosial seperti LINDUNG Kendiri, LINDUNG Kasih dan LINDUNG 24 Jam turut menerima sambutan menggalakkan daripada pengunjung.
Secara keseluruhan, festival yang berlangsung selama tiga hari itu merekodkan kehadiran lebih 45,000 pengunjung.
Menurut PERKESO, sambutan tersebut menunjukkan pendekatan turun padang boleh membawa perkhidmatan serta maklumat berkaitan perlindungan sosial lebih dekat kepada masyarakat.
Menerusi konsep KESUMA Bersama Rakyat, festival ini menghimpunkan peluang pekerjaan, perlindungan sosial dan pelbagai khidmat PERKESO dalam satu platform.
Apa Sebenarnya LINDUNG?
Untuk yang mungkin masih tertanya-tanya, LINDUNG merupakan penjenamaan semula skim perlindungan keselamatan sosial PERKESO yang dilancarkan pada 22 Ogos 2025.
Di bawah penjenamaan ini, beberapa skim PERKESO menggunakan nama baharu iaitu:
- LINDUNG PEKERJA – Akta 4
- LINDUNG KERJAYA – Akta 800
- LINDUNG KENDIRI – Akta 789 (SKSPS)
- LINDUNG KASIH – Akta 838 (SKSSR)
Selain itu, LINDUNG 24 Jam mula dikuatkuasakan pada 1 Jun 2026 bagi memberikan perlindungan sekiranya berlaku kemalangan di luar waktu kerja dalam negara kepada pekerja yang mencarum LINDUNG Pekerja.
Dengan lebih 45,000 pengunjung, ratusan pencari kerja berjaya mendapat pekerjaan dan ribuan majikan mendapatkan perkhidmatan PERKESO, Festival Mega iLINDUNGu bukan sekadar menghimpunkan orang ramai dalam satu lokasi.
Sebaliknya, ia menjadi satu platform untuk pencari kerja, pekerja dan majikan mendapatkan akses kepada peluang serta perlindungan yang berkaitan dengan kehidupan pekerjaan mereka.
Maklumat lanjut mengenai layari www.perkeso.gov.my.
Kongsikan artikel ini
Kongsikan artikel ini jika anda rasa lebih ramai patut mengetahuinya.
BULETIN OH! MEDIA
Baca Yang Paling Best Je.
Berita terbaik terus ke e-mel anda setiap malam. Percuma!
Pautan artikel telah disalin.
Mastura adalah Ketua Penulis Editorial sepenuh masa di Oh! Media, pakar dalam menyampaikan artikel pemasaran dengan gaya yang santai namun penuh informasi, memastikan setiap kandungan mudah difahami dan relevan untuk pembaca.




