SHAH ALAM – Menteri Besar Negeri Sembilan, Datuk Ismail Lasim digesa menjelaskan sama ada keputusan menggantung tugas Setiausaha Kerajaan Negeri (SUK) dan Penasihat Undang-Undang Negeri itu sudah ditarik balik atau sebaliknya.
Penasihat Politik Kanan kepada Perdana Menteri, Datuk Seri Tengku Zafrul Abdul Aziz berkata, kenyataan terbaharu Ismail bahawa kedudukan kedua-dua pegawai itu perlu diselesaikan melalui proses undang-undang dan pentadbiran masih belum menjawab persoalan utama mengenai status keputusan penggantungan yang diumumkan pada 22 September lalu.
Tengku Zafrul berpandangan, mandat rakyat lebih dua per tiga dan hak eksekutif kerajaan negeri yang berulang kali disebut oleh Ismail tidak memberikannya kuasa yang tidak diperuntukkan undang-undang.
“Apakah keputusan penggantungan sudah ditarik balik? Kalau belum, apa gunanya ‘mengambil maklum’ bahawa kuasa tersebut terletak pada pihak lain, tetapi keputusan yang dibuat tanpa kuasa masih mahu dikekalkan?
“Menang besar bukan bermakna boleh bertindak sesuka hati,” katanya menerusi hantaran di Facebook pada Jumaat.
Sinar Harian sebelum ini melaporkan, Mesyuarat Khas Majlis Mesyuarat Kerajaan Negeri (MMKN) Negeri Sembilan menggantung tugas Setiausaha Kerajaan Negeri, Datuk Mohd Zafir Ibrahim dan Penasihat Undang-Undang Negeri, Datuk Muzalmah Mustapha Kamal berkuat kuasa serta-merta.
Ismail memaklumkan, keputusan itu dibuat secara sebulat suara dalam mesyuarat khas MMKN Negeri Sembilan.
Susulan penggantungan itu, Pegawai Kewangan Negeri, Datuk Masri Razali dinamakan untuk menjalankan tugas Setiausaha Kerajaan Negeri hingga penyandang baharu diumumkan oleh Ketua Setiausaha Negara, Tan Sri Shamsul Azri Abu Bakar.
Tugas memberikan nasihat perundangan pula dilaksanakan oleh Fahmi Adilah, peguam bela dan peguam cara sehingga Penasihat Undang-Undang baharu dinamakan oleh Jabatan Peguam Negara (AGC).
Mengulas lanjut, Tengku Zafrul turut meminta Ismail menjelaskan sama ada terdapat dakwaan salah laku terhadap Mohd Zafir dan Muzalmah, proses tatatertib diguna pakai serta pihak berkuasa yang membuat keputusan berkenaan.
Beliau berkata, penjawat awam perlu diberi ruang untuk memberikan nasihat berdasarkan undang-undang, termasuk jika pandangannya sukar diterima pemimpin politik.
“Jangan lemparkan bayangan bahawa dua pegawai kanan tidak profesional atau tidak neutral tanpa menyatakan kesalahan mereka. Beri ruang untuk mereka jawab.
“Rujuk perkara ini kepada Ketua Setiausaha Negara, Jabatan Perkhidmatan Awam (JPA), AGC atau suruhanjaya berkenaan. Kuasa pelantikan dan tatatertib kedua-dua jawatan tersebut bukan berada di tangan Menteri Besar atau Exco.
“Jika baru beberapa bulan memerintah, UMNO sudah menggunakan mandat besar sebagai alasan mempertahankan tindakan di luar bidang kuasa, apa lagi akan berlaku pada tahun-tahun seterusnya?” soal Tengku Zafrul.
Beliau turut membangkitkan krisis politik Perak pada 2009 apabila Menteri Besar ketika itu, Datuk Seri Mohammad Nizar Jamaluddin menggantung tugas Setiausaha Kerajaan Negeri dan Penasihat Undang-Undang Negeri dengan UMNO sebagai parti pemerintah.
Menurutnya, Ketua Setiausaha Negara pada waktu itu, Tan Sri Mohd Sidek Hassan menegaskan bahawa Menteri Besar tidak mempunyai kuasa berkenaan dan perkara tersebut terletak di bawah pihak berkuasa tatatertib berkaitan.
Tengku Zafrul kemudian mempersoalkan mengapa pendirian Persekutuan dalam kes Perak ketika itu boleh diterima pakai sebagai penegasan batas kuasa, sedangkan kenyataan AGC dalam isu Negeri Sembilan kini disifatkan ‘campur tangan’.
“Undang-undang tidak berubah mengikut parti yang memerintah Persekutuan.
“Dahulu Ketua Setiausaha Negara menegaskan batas kuasa Menteri Besar di Perak, sekarang AGC menegaskan batas kuasa kerajaan negeri di Negeri Sembilan. Prinsipnya mesti konsisten,” katanya.



