Shereen tersekat pusingan pertama

Shereen tersekat pusingan pertama

sukan@hmetro.com.my

Nagoya: Misi pelari 400 meter (m) wanita negara, Shereen Samson Vallabouy untuk mempertahankan pingat gangsa Sukan Asia tidak kesampaian apabila terkandas di pusingan pertama edisi Aichi-Nagoya 2026, hari ini.

Shereen terpaksa akur selepas menamatkan saingan pusingan pertama saringan ketiga di tempat keempat dengan catatan 54.03 saat (s) di Nagoya City Mizuho Park Athletic Stadium, sekali gus gagal melangkah ke final.

Saringan itu dimenangi pelari Iran, Zahra Zarei Manoujan dengan catatan 52s, diikuti wakil Uzbekistan, Jonbibi Hukmova di tempat kedua (52.05s), manakala atlet India, Prachi menduduki tempat ketiga (53.46s).

Hanya dua pelari terbaik setiap saringan dan dua catatan terpantas berikutnya layak ke final.

Pada Sukan Asia Hangzhou 2022, Shereen berjaya menghadiahkan gangsa buat negara selepas mencatat masa 52.58s.

Pelari itu juga pemegang rekod kebangsaan dengan catatan 51.80s.

Shereen mengakui kecewa selepas gagal mengulangi pencapaian tiga tahun lalu, namun menegaskan dia sudah memberikan segala-galanya dalam perlumbaan berkenaan.

“Ianya bukan seperti yang saya harapkan hari ini. Masa saya tidak seperti yang diinginkan dan saya datang jauh daripada catatan terbaik.

“Sejujurnya saya sudah memberikan segala yang saya ada. Saya tidak boleh menyalahkan diri sendiri dan perlu melihat semula perlumbaan ini bersama jurulatih untuk membuat penilaian,” katanya ketika ditemui selepas perlumbaan.

Shereen berkata kegagalan mempertahankan gangsa sememangnya mengecewakan, namun dia perlu bangkit dan meneruskan perjalanan sebagai atlet.

“Ya, sudah tentu saya kecewa. Saya tidak akan menipu, saya sedih, tetapi sejujurnya saya sudah memberikan segala yang saya ada.

“Ini bukan tahun saya. Saya perlu bangkit semula dengan lebih kuat dan terus bergerak,” katanya.

Sementara itu, pelari 400m lelaki negara, Umar Osman turut gagal melangkah ke final selepas sekadar menamatkan saingan saringan kedua di tempat keenam dengan catatan 46.91s.

Saingan itu dimenangi pelari India, V Thennarasu dengan catatan 45.27s, diikuti Ammar Ibrahim dari Qatar (45.31s), manakala Kalinga Kumarge dari Sri Lanka di tempat ketiga (45.74s).

© New Straits Times Press (M) Bhd

Scroll to Top