Sumbangan bukti masih ramai ingat jasa Najib – Nizar

Sumbangan bukti masih ramai ingat jasa Najib – Nizar

PEKAN: Sumbangan orang ramai menerusi Tabung Solidariti Najib Razak membuktikan masih ramai yang mengingati jasa dan sumbangan bekas Perdana Menteri, Datuk Seri Najib Tun Razak sepanjang berada dalam pentadbiran negara.

Naib Ketua UMNO Bahagian Pekan yang juga anak beliau, Datuk Mohd. Nizar berkata, sumbangan yang diterima juga datang daripada pelbagai latar belakang masyarakat dan bukan tertumpu kepada kelompok tertentu sahaja.

Katanya, usaha membantu bapanya itu dilakukan secara sukarela tanpa sebarang paksaan, malah menunjukkan masih ada pihak yang tergerak hati untuk menyumbang meskipun sudah empat tahun tidak berkesempatan bertemu Najib.

Memuatkan artikel berkaitan…

“Bersyukur kerana ramai masih ingat kepada ayahanda walaupun sudah empat tahun tidak bertemu. Ramai yang masih ingat dan menyumbang secara sukarela tanpa paksaan. Sumbangan ini bukan tertumpu kepada satu kelompok sahaja, sebaliknya daripada pelbagai latar belakang bangsa dan masyarakat,” katanya ketika ditemui selepas program kutipan Tabung Solidariti Najib di sini, hari ini.

Nizar berkata, sebagai anak, beliau melihat sumbangan berkenaan sebagai satu bentuk penghargaan terhadap jasa yang pernah dicurahkan bapanya ketika menerajui pentadbiran negara.

Katanya, jumlah yang perlu dilunaskan bukan kecil dan usaha mendapatkan sumbangan perlu diteruskan dalam tempoh yang panjang bagi mencapai jumlah ditetapkan.

“Bagi saya, jasa tetap ada. Logiknya, mana mungkin orang mahu menyumbang jika berasakan tiada jasa yang diberikan. Dalam perkara ini, kita sedang berusaha dan perlu bersyukur dalam apa jua keadaan apabila ada pihak yang tergerak hati untuk membantu,” katanya.

Sementara itu, Ketua UMNO Bahagian Pekan, Datuk Seri Fakaruddin Mohd. Ariff berkata, pihaknya jmenggerakkan kepemimpinan di setiap peringkat untuk mengumpul dana sebanyak mungkin sejak 19 September lalu.

“Jumlah kutipan yang dikumpul selama enam hari sejak tabung ini dilancarkan adalah sebanyak RM36,204.15 dan menjangkakan jumlah itu akan terus meningkat dari semasa ke semasa,” katanya. – UTUSAN

 

Scroll to Top