Anggota polis dilanggar kereta ketika kawal laluan rombongan Sultan Kelantan

Anggota polis dilanggar kereta ketika kawal laluan rombongan Sultan Kelantan

am@hmetro.com.my

Tumpat: Seorang anggota polis trafik cedera dirempuh sebuah kereta ketika sedang menjalankan tugas kawalan lalu lintas di persimpangan lampu isyarat Kampung Kepulau, Palekbang, di sini, hari ini.

Dalam kejadian jam 1.25 tengah hari itu, anggota dari Bahagian Siasatan dan Penguatkuasaan Trafik Daerah (BSPTD) Tumpat sedang menutup laluan dari arah Morak ke Palekbang.

Ketua Polis Daerah Tumpat, Asisten Komisioner Mohd Khairi Shafie berkata, penutupan jalan itu adalah bagi memberi laluan kepada rombongan Sultan Muhammad V untuk menunaikan solat Jumaat dan Majlis Jamuan Rakyat sempena Ulang Tahun Keputeraan baginda ke-57.

“Sebuah kereta Proton Saga yang dipandu seorang wanita tempatan berusia 55 tahun dari arah Morak dipercayai tidak menyedari kehadiran anggota polis terbabit sebelum terlanggarnya.

“Anggota polis berusia 22 tahun itu terjatuh dan cedera ringan.

“Mangsa dibawa ke Hospital Tumpat untuk rawatan sebagai pesakit luar manakala pemandu kereta terbabit tidak mengalami sebarang kecederaan,” katanya dalam kenyataan, hari ini.

Mohd Khairi berkata, kes disiasat mengikut Seksyen 79(1) Akta Pengangkutan Jalan (APJ) 1987.

Menurutnya, siasatan lanjut masih diteruskan termasuk usaha mengesan rakaman kamera papan pemuka (dashcam) atau rakaman lain yang boleh membantu siasatan.

“Kami menasihatkan semua pengguna jalan raya supaya sentiasa mematuhi arahan anggota polis yang menjalankan tugas kawalan lalu lintas serta memberi perhatian sepenuhnya terhadap keadaan jalan raya, khususnya ketika operasi khas dan kawalan lalu lintas, bagi mengelakkan kejadian yang tidak diingini,” katanya.

© New Straits Times Press (M) Bhd

Scroll to Top