Kuala Lumpur: Bintang veteran, Datuk Rosnani Jamil, 90, terkilan tidak dapat memberi penghormatan terakhir kepada insan yang banyak berjasa dalam melonjakkan namanya di persada seni, iaitu tokoh legenda dan perintis filem Melayu, mendiang Tan Sri L Krishnan.
Rosnani mengakui mengetahui tahap kesihatan mendiang yang semakin uzur sejak bulan lalu melalui isterinya, Puan Sri Rukmanee.
“Saya tahu keadaan kesihatan mendiang Krishnan semakin merosot sejak bulan lalu. Isterinya beritahu Krishnan sudah nazak.
“Saya sebenarnya berhasrat ke Chiang Mai (Thailand) untuk memberi penghormatan terakhir sebaik tahu berita pemergiannya. Tetapi, tiada siapa boleh temani saya ke sana (Chiang Mai).
“Bagaimanapun, saya dapat hubungi isterinya sebentar tadi. Dia dalam keadaan sedih dan menangis ketika bercakap. Dia faham apabila saya beritahu tidak dapat ke sana untuk memberi penghormatan terakhir.
“Saya sangat sedih kerana tidak dapat menatap wajah mendiang Krishnan buat kali terakhir. Apa-apa pun, jasa mendiang tidak akan saya lupa sampai bila-bila.
“Tanpa mendiang Krishnan, Allahyarham Tan Sri P Ramlee dan Allahyarham Datuk Jamil Sulong, tidak mungkin saya berada dalam industri seni ini,” katanya ketika dihubungi BH Online.
Rosnani berkata, kali terakhir dia bertemu mendiang Krishnan adalah antara 2011 atau 2012.
Menurutnya, beliau akan teringat mendiang yang juga pengarah filem Shaw Brothers setiap tahun kerana tidak pernah ketinggalan menganjurkan majlis sambutan hari lahir dengan menjemput pelakon era Jalan Ampas dan filem hitam putih untuk berkumpul.
“Kali terakhir saya berjumpa mendiang, jika tidak silap, 2011 atau 2012. Setiap tahun Krishnan menyambut hari lahir dan mengundang semua artis.
“Pada satu ketika, hanya saya dan Allahyarham Datuk Seri Maria Menado yang masih ada untuk bersama-sama meraikan hari lahirnya.
“Kalau tidak berjumpa pun, mendiang Krishnan akan hubungi kami, iaitu saya, Allahyarham Datuk S Roomai Nor dan Allahyarham P Ramlee.
“Apabila sudah berusia dan uzur, kemudian berkahwin dengan isterinya sekarang, mendiang Krishnan berpindah ke Thailand,” katanya.
Mengimbau kembali perkenalannya dengan mendiang Krishnan, Rosnani berkata, dia mula mengenali tokoh legenda itu ketika bekerja sebagai penari di Kelab Happy pada usia 16 tahun.
Menurutnya, mendiang Krishnan tertarik melihatnya sebelum memanggil dan memintanya hadir ke Shaw Brothers untuk menjalani uji bakat.
“Saya paling kurus, gelap dan tidak cantik antara penari lain, tetapi mendiang tertarik dan meminta saya datang menjalani uji bakat.
“Tidak sangka saya berjaya dalam uji bakat itu dan digandingkan dengan P Ramlee menerusi filem Lupa Daratan. Filem itu kemudian ‘meletup’ dan saya menjadi rebutan pengarah di Jalan Ampas.
“Saya sentiasa berterima kasih kepada tiga insan ini, Krishnan, P Ramlee dan Jamil. Kalau bukan disebabkan mereka, siapalah saya, hanya penari joget yang tidak lawa, kurus dan hitam.
“Tetapi mereka sanggup meluluskan saya untuk memegang watak utama,” katanya.
Rosnani juga tidak menafikan sumbangan besar mendiang Krishnan dalam perkembangan industri filem Melayu.
Menurutnya, mendiang berjaya mencungkil dan mengangkat banyak nama besar dalam industri termasuk P Ramlee, selain menaikkan nama pelakon seperti Allahyarham Kasma Booty, Allahyarham Rokiah Jaafar dan Allahyarham Latifah Omar.
“Sebelum Krishnan sertai Shaw Brothers, filem Melayu pada zaman itu biasa saja. Sebagai gadis remaja berusia 16 tahun atau 17 tahun, kami kenali filem Melayu menerusi Kasma Booty dan P Ramlee. Pelakon lain kami tidak begitu kenal.
“P Ramlee seakan-akan menjadi idola anak muda ketika itu. Saya masih ingat filem Sedarah yang menampilkan P Ramlee dan Kasma Booty. Itulah antara filem yang menaikkan nama P Ramlee. Mereka menjadi idola kami ketika itu.
“Namun, apabila mendiang Krishnan meninggalkan Shaw Brothers dan menyertai Cathay-Keris, namanya seakan-akan tenggelam dan tidak begitu kedengaran lagi di Malaysia.
“Tetapi P Ramlee tetap bertahan dan terus mencipta nama tanpa mendiang. Saya pun berjaya bertahan. Ada beberapa pelakon yang mengikut mendiang bekerja untuk Cathay-Keris, antaranya Maria, Latifah dan ramai lagi,” katanya.Rosnani terkilan tidak dapat memberi penghormatan terakhir buat insan yang banyak berjasa kepadanya
© New Straits Times Press (M) Bhd




