Momoyo sasar 600 cawangan, tawar peluang francais mampu milik

Momoyo sasar 600 cawangan, tawar peluang francais mampu milik

Rawang: Jenama minuman teh berinovatif terkemuka, Momoyo, melangkah ke fasa baharu pengembangan pasaran di Malaysia menerusi pembukaan kedai utama (flagship store) pertama yang menggabungkan konsep bakeri, minuman, dan pencuci mulut di bawah satu bumbung.

Premis berkonsepkan serba baharu di Bandar Tasik Puteri, Rawang, Selangor itu bakal menjadi penanda aras dalam usaha memperkenalkan rangkaian produk bakeri sebagai pilihan terbaharu jenama berkenaan.

Menurut Pengurus Produk dan Latihan Momoyo Malaysia, Sheikh Nik Azim Sheikh Amizal, pembukaan itu bertujuan memberikan kepelbagaian produk selain menyediakan ruang santai yang lebih selesa buat komuniti setempat.

“Dengan ruang yang lebih besar dan pilihan produk yang lebih pelbagai, cawangan Rawang bukan sahaja menawarkan lebih banyak pilihan kepada pelanggan malah diharap dapat menjadi tempat pertemuan baharu bagi komuniti setempat.

“Pelanggan kini bukan sahaja boleh menikmati rangkaian sedia ada Momoyo seperti Fruit Tea, Milk Tea, Ice Cream serta minuman lain, sebaliknya turut disajikan dengan pilihan produk bakeri yang baru dimasak dan dibakar segar,” katanya pada majlis perasmian pembukaan kedai utama berkenaan, di sini.

Mengulas mengenai status pematuhan, Sheikh Nik Azim menegaskan bahawa Momoyo kini sudah pun memperoleh pensijilan halal, manakala permohonan pensijilan halal bagi segmen Momoyo Bakehouse sedang rancak diproses mengikut piawaian yang ditetapkan.

Dalam pada itu, jenama asal Indonesia yang kini sudah mempunyai lebih 1,500 cawangan di seluruh Asia itu turut membuka peluang francais kepada usahawan tempatan dalam usaha menyasarkan pengembangan agresif sebanyak 600 cawangan di seluruh negara pada masa akan datang.

“Dengan kos permulaan yang mampu milik dan sokongan menyeluruh daripada Momoyo, peluang ini membolehkan usahawan menikmati pulangan yang tinggi dalam industri makanan dan minuman (F&B) yang berkembang pesat,” ujarnya.

© New Straits Times Press (M) Bhd

Scroll to Top