MELAKA – Penganjuran Melaka Coastal Run 2026 yang dirancang hanya tujuh hari sebelum pembubaran Dewan Undangan Negeri (DUN) Melaka berjaya menarik penyertaan hampir 2,000 orang.
Presiden Parti Wawasan Negara (Wawasan), Datuk Seri Hamzah Zainudin berkata, program berkenaan berpotensi dijadikan acara tahunan bagi menggalakkan lebih ramai orang berkunjung ke Melaka sekali gus membantu merancakkan sektor pelancongan negeri itu.
Menurutnya, idea menganjurkan program berkenaan tercetus hasil pertemuannya dengan bekas Ketua Menteri Melaka, Tan Sri Rahim Thamby Chik yang juga Naib Presiden Wawasan kira-kira seminggu sebelum pembubaran DUN.
“Pembentukan program dirancang tujuh hari sebelum pembubaran. Kita tak tahu pun bahawa mereka nak membubarkan pada hari Selasa.
“Saya dan Tan Sri Rahim Thamby Chik berjumpa dan kata, ‘kenapa tidak kita buat sesuatu pada hari Sabtu’.
“Rupa-rupanya bila kita lakukan, mereka terus bubarkan negeri Melaka ini,” katanya ketika ditemui pada Melaka Coastal Run 2026 di Pantai Puteri di sini pada Sabtu.

Hamzah beramah mesra bersama peserta Melaka Coastal Run pada Sabtu.
Hamzah berkata, sekiranya acara itu dapat diteruskan setiap tahun, ia berpotensi menarik minat orang ramai untuk berkunjung ke Melaka, selain membantu mempromosi sektor pelancongan.
“Kalau kita dah bermula pada hari ini, kalau tiap-tiap tahun kita lakukan, ia boleh juga mengembalikan minat orang untuk bersama dengan rakyat Melaka untuk membesarkan negeri Melaka ini dari segi tourism (pelancongan), sektor yang sepatutnya telah pun bermula daripada zaman Tan Sri Rahim lagi.
“Ini menunjukkan bahawa kepimpinan yang ada di negeri Melaka melalui Wawasan Negara ini, mereka lebih pandang jauh ke hadapan daripada hanya syok sendiri,” katanya.
Sementara itu ketika ditanya perkembangan semasa berkenaan agihan kerusi menjelang PRM Melaka beliau tidak bersedia mengulas.
“Awak banyak nak tanya politik ini pasal apa? Kami nak berjalan dulu,” katanya berseloroh.



