am@hmetro.com.my
New York: Malaysia menggesa reformasi institusi kewangan antarabangsa serta sistem perdagangan multilateral yang lebih berkesan terhadap negara membangun.
Menteri Luar, Datuk Seri Mohamad Hasan berkata, negara membangun perlu memainkan peranan bermakna dalam menentukan hala tuju masa depan.
“Malaysia menggesa reformasi institusi kewangan antarabangsa, sistem perdagangan multilateral yang lebih berkesan, tindakan iklim yang lebih kukuh serta kerjasama lebih erat dalam bidang sains, teknologi dan inovasi termasuk teknologi maklumat dan komunikasi serta kecerdasan buatan (AI) generasi baharu,” katanya.
Beliau berkata demikian dalam ucapan intervensi pada Mesyuarat Peringkat Menteri Kumpulan 77 dan China sempena Perhimpunan Agung Pertubuhan Bangsa-Bangsa Bersatu (PBB) ke-81 di sini, hari ini.
Beliau turut menegaskan sebarang reformasi sistem PBB perlu memperkukuh keupayaannya untuk memenuhi keperluan negara anggota, khususnya negara membangun.
Beliau berkata kerjasama Selatan Global membuktikan negara membangun bukan sekadar penerima penyelesaian pembangunan, malah rakan strategik dan penyumbang kepada pembangunan global.
“Komitmen Malaysia terhadap kerjasama Selatan Global diterjemahkan menerusi Program Kerjasama Teknikal Malaysia yang menyokong pembangunan kapasiti, kerjasama teknikal dan perkongsian kepakaran antara negara membangun,” katanya.
Mohamad berkata cabaran baharu seperti perubahan iklim, pembiayaan pembangunan dan transformasi teknologi yang pesat perlu ditangani tanpa mewujudkan jurang baharu bagi menggantikan jurang sedia ada.
© New Straits Times Press (M) Bhd




