SHAH ALAM – Kira-kira 100 pembaca tegar berkumpul pada Book Tea Party, salah satu pengisian Festival Novel Malaysia yang berlangsung di Dewan Karangkraf di sini pada Sabtu.
Program berkonsepkan santai itu menghimpunkan pembaca, pengulas buku dan wakil lima penerbit tempatan iaitu Karangkraf, Manes Wordworks, InkLoaf, Prolog Media serta mangosteeen.
Dengan suasana dan dekorasi bernuansa merah jambu, program berkenaan turut menjadi ruang kepada komuniti pembaca untuk bertemu, berinteraksi serta berkongsi pengalaman secara bersemuka.
Penganjuran kali kedua tahun ini meneruskan kesinambungan acara terdahulu, selain memberi peluang kepada pembaca berinteraksi secara langsung dengan rakan pembaca, pengulas buku dan wakil penerbit.
Bagi pengulas dan pembaca yang dikenali sebagai Teacher Yam atau nama sebenarnya Maryam Sarwani, Book Tea Party memberi pengalaman berbeza kerana dapat bertemu rakan peminat novel yang sebelum ini hanya dikenali menerusi media sosial.

Maryam – Foto SINAR HARIAN/MOHD HALIM ABDUL WAHID
“Saya memang pembaca buku novel terbitan Karangkraf dan Buku Prima sejak dulu lagi.
“Tujuan saya datang hari ini adalah untuk berkumpul bersama penulis, pengulas dan pembaca. Kita dapat bertukar-tukar cerita dan pengalaman membaca buku,” katanya kepada Sinar Harian.
Sementara itu, Lydia Nasir dari Petaling Jaya berkata, program berkenaan memberi peluang kepadanya bertemu secara bersemuka dengan komuniti pembaca serta penerbit.
Menurutnya, sebelum ini kebanyakan interaksi antara mereka hanya berlaku menerusi media sosial.

Lydia – Foto SINAR HARIAN/MOHD HALIM ABDUL WAHID
“Aktiviti hari ini sangat menyeronokkan sebab dapat berjumpa secara bertatap muka.
“Sebelum ini kami hanya berinteraksi dan komen di media sosial sahaja, jadi hari ini peluang terbaik untuk jumpa secara bersemuka antara pembaca serta penerbit,” katanya.
Lydia yang pertama kali menyertai program berkenaan berkata, pertemuan secara langsung itu membolehkan hubungan dalam kalangan komuniti pembaca menjadi lebih erat.
Sementara itu, Haryati Abdul Halim dari Kelana Jaya menyifatkan, suasana Book Tea Party sebagai meriah dan menarik walaupun beliau baru tiba di lokasi.

Haryati – Foto SINAR HARIAN/MOHD HALIM ABDUL WAHID
Menurutnya, minat membaca novel sudah sebati dengannya sejak era kegemilangan Alaf 21 dan berterusan sehingga kini.
“Saya baca buku dari zaman Alaf 21 hinggalah sekarang. Bagi saya, ia tidak terikat dengan satu-satu penerbit sahaja.
“Mana-mana penulis atau penerbit yang mengeluarkan karya menarik, saya akan ikuti,” katanya.

Pelbagai aktiviti menarik dianjurkan Program Book Tea Party sempena Festival Novel Malaysia 2026 yang berlangsung di Kompleks Karangkraf pada Sabtu. – Foto SINAR HARIAN/MOHD HALIM ABDUL WAHID
Program Book Tea Party turut memperlihatkan bahawa minat terhadap novel tidak terhad kepada karya daripada penerbit tertentu, sebaliknya pembaca mengikuti karya berdasarkan penulis dan kandungan yang menarik perhatian mereka.
Selain menjadi ruang pertemuan pembaca, program berkenaan turut menghubungkan komuniti pembaca dengan pengulas serta penggiat industri perbukuan.
Book Tea Party menjadi antara pengisian Festival Novel Malaysia yang bukan sahaja mengetengahkan karya novel, malah menyediakan ruang interaksi secara langsung dalam kalangan pembaca, penulis, pengulas dan penerbit.



