Sultan Selangor berkenan sempurnakan perasmian RSPEC

Sultan Selangor berkenan sempurnakan perasmian RSPEC

sukan@hmetro.com.my

Kuala Lumpur: Sultan Selangor, Sultan Sharafuddin Idris Shah berkenan menyempurnakan perasmian Kelab Polo dan Ekuestrian Diraja Selangor (RSPEC) di Taman Tasik Cyberjaya, hari ini.

Keberangkatan Baginda turut disertai Tengku Permaisuri Selangor Tengku Permaisuri Norashikin dalam majlis yang diadakan bersempena Sambutan Jubli Perak pemerintahan Baginda.

Dalam majlis sama, Sultan Sharafuddin turut berkenan menyempurnakan perasmian arca kuda hasil karya seniman kontemporari, Datuk Yusof Ghani.

RSPEC dibangunkan dengan visi mengangkat sukan polo dan ekuestrian ke tahap lebih tinggi, selain menjadi destinasi rekreasi serta aktiviti komuniti yang berpotensi menyumbang kepada pembangunan sukan dan pelancongan sukan di Selangor.

Presiden RSPEC, Engku Maharaja Lela Setia Paduka Datuk Syed Budriz Putra Jamalullail berkata, keberangkatan Sultan Selangor menjadi titik penting dalam usaha RSPEC memainkan peranan lebih besar dalam pembangunan sukan dan komuniti.

“RSPEC dibangunkan dengan satu visi yang jelas iaitu mengangkat polo dan ekuestrian ke tahap lebih tinggi, di samping mewujudkan sebuah destinasi sukan yang terbuka, aktif dan relevan kepada komuniti.

“”Kami amat berbesar hati dengan keberangkatan DYMM Sultan Selangor dan DYMM Tengku Permaisuri Selangor, dalam menjadikan perasmian ini sebagai satu titik permulaan untuk RSPEC memainkan peranan yang lebih besar dalam pembangunan sukan, pelancongan sukan dan aktiviti komuniti di Selangor,” katanya.

Kompleks berkenaan dilengkapi padang polo, trek pasir sepanjang satu kilometer, 136 kandang kuda serta arena dalaman dan luaran yang dibangunkan mengikut piawaian antarabangsa.

Kemudahan itu turut dilengkapi Sejiwa Social Club yang menempatkan lapan gelanggang pickleball, satu gelanggang padel, selain kemudahan futsal, tenis, bola keranjang dan latihan golf.

RSPEC turut memberi tumpuan kepada program Riding for the Disabled Association (RDA) Selangor yang menawarkan terapi ekuestrian kepada kanak-kanak berkeperluan khas dan dijadual dilancarkan pada Januari 2027.

Pengurusan RSPEC menegaskan kemudahan di kompleks berkenaan, termasuk Sejiwa Social Club, terbuka kepada orang ramai, sekali gus memberi peluang kepada masyarakat dan atlet pelapis menikmati kemudahan sukan bertaraf dunia.

Dalam pada itu, Timbalan Presiden RSPEC, Datuk Seri Dr Irmohizam Ibrahim berkata, pembukaan kompleks berkenaan menjadi langkah penting dalam usaha memperkukuh pembangunan sukan, komuniti dan pelancongan sukan di Selangor, khususnya bersempena Sambutan Jubli Perak Pemerintahan Sultan Selangor.

© New Straits Times Press (M) Bhd

Scroll to Top