Siti Nurhaliza bangga, terima apa sahaja keputusan AIM25

Siti Nurhaliza bangga, terima apa sahaja keputusan AIM25

Kuching : Biduanita Negara, Datuk Seri Siti Nurhaliza yang mendominasi Anugerah Industri Muzik (AIM) Ke-25 (AIM25) dengan 14 pencalonan, terbuka menerima apa sahaja keputusan yang bakal diumumkan pada malam kemuncak anugerah berprestij itu, malam ini.

Siti berkata, pencalonan dalam jumlah besar yang diterima menerusi album Gema Bumantara yang dipertaruhkan sudah cukup membanggakan.

Malah, penyanyi berusia 47 tahun itu menyifatkan karya berteraskan irama tradisional dihasilkan bukan semata-mata untuk dirinya sebaliknya sebagai usaha memperjuangkan genre berkenaan untuk terus mendapat tempat dalam industri.

“Sampai ke peringkat akhir itu sudah menjadi satu kebanggaan untuk saya sebab saya memperjuangkan irama tradisional ini bukan untuk diri saya tetapi untuk industri dan juga generasi akan datang.

“Apa sahaja keputusan saya terima dengan hati terbuka kerana menghasilkan karya tradisional itu sudah dianggap sebagai satu kemenangan untuk saya.

“Selebihnya, saya serahkan kepada juri profesional mengikut kepakaran dan pendapat mereka. Walau macam mana pun, Gema Bumantara ini sudah sesuatu untuk saya dan kemenangan besar untuk saya,” katanya ketika ditemui pada acara karpet merah AIM 25 di Borneo Convention Centre Kuching (BCCK) di sini, malam ini.

Mengulas ramalan pelbagai pihak yang mengatakan dirinya bakal membolot trofi utama pada malam ini, Siti berkata, ia sama sekali tidak akan mengubah pendiriannya untuk menerima keputusan dengan hati terbuka.

“Ramalan tetap ramalan, tetapi saya terima dengan hati terbuka. Menembusi pencalonan untuk banyak kategori pun sudah satu kemenangan untuk diri saya dan album Gema Bumantara sendiri.

“Sebab yang hadir dan yang sokong album ini bukan penyanyi sahaja tetapi pencipta lagu, penulis lirik, penyusun muzik dan penerbit.

“Jadi, ini untuk mereka. Saya menjadikan ia satu kenyataan untuk semua komposer muda yang mahu mencipta lagu tradisional,” katanya.

Siti menjadi penyanyi dengan jumlah pencalonan tertinggi bagi edisi kali ini, sekali gus memperlihatkan kekuatan karya dan pengaruhnya dalam pelbagai cabang muzik.

Antara pencalonan utama Siti ialah kategori Vokal Wanita Terbaik menerusi lagu Kesuma.

Siti turut bersaing dalam kategori Kolaborasi Artis/Penulis Lagu Tempatan Bersama Artis/Penulis Luar Negara Terbaik menerusi tiga karya iaitu Cenderamaya, Kumbang Bunga dan Jenjang Cinta.

Dalam kategori Lagu Tradisional Terbaik pula, Siti dicalonkan menerusi Kesuma, Rencong; Hujung Bumi dan Pesanan Buat Diri.

Album Gema Bumantara turut membawa nama Siti ke pencalonan kategori Album Terbaik selain Rakaman Album Terbaik.

Lagu Pesanan Buat Diri pula melayakkan Siti bersaing dalam kategori Susunan Muzik Terbaik Di Dalam Negara, selain turut dicalonkan dalam kategori Rakaman Lagu Terbaik bersama Kesuma.

Siti turut menerima pencalonan dalam kategori Lagu Perayaan Terbaik menerusi Raya Nak Ke Mana?

Malam kemuncak AIM 25 disiarkan secara langsung menerusi TVS dari BCCK di sini, bermula 9 malam ini.

Penganjuran edisi ke-25 itu mencatat sejarah tersendiri apabila AIM buat pertama kali berlangsung di Bumi Kenyalang.

© New Straits Times Press (M) Bhd

Scroll to Top