bhnews@bh.com.my
Petaling Jaya: Andaian awal pasukan krisis Malaysia Airlines (MAS) ketika cuba merungkai kehilangan pesawat pesawat MH370 pada awal pagi 8 Mac 2014 ialah ia mungkin dirampas.
Bekas Pengarah Krisis MH370 dan MH17 MAS, Mohd Fuad Sharuji, berkata andaian itu timbul susulan maklumat dua penumpang yang kemudian dikenal pasti sebagai warga Iran, menggunakan pasport curi menaiki MH370.
“Daripada INTERPOL (Polis Antarabangsa), kami mendapat tahu mereka menggunakan pasport palsu. Mereka masuk ke Kuala Lumpur menggunakan pasport asal tetapi keluar menggunakan pasport palsu.
“Jadi, ketika itu kami terus memikirkan pesawat ini mungkin dirampas. Rampasan adalah perkara pertama yang terlintas dalam fikiran kami mengenai MH370,” katanya.
Mohd Fuad berkata demikian ketika menyampaikan syarahan bertajuk MH370: The Search, The Mystery & What Really Happened? pada British Graduate Association of Malaysia (BGAM) Lecture Series di sini, semalam.
Syarahan dikendalikan Pengerusi Bahagian Teknikal Kejuruteraan Mekanikal, Institution of Engineers Malaysia (IEM), Dr Ricky Liew Chee Leong sebagai moderator,
Yang turut hadir, Presiden BGAM, Datuk Kamarudin Md Ali; bekas Menteri Dalam Negeri, Tan Sri Syed Hamid Albar dan pengasas BAC Education, Raja Singham.
Untuk rekod, siasatan kemudian mengesahkan dua lelaki terbabit adalah warga Iran yang menaiki MH370 menggunakan pasport Austria dan Itali yang dicuri.
Bagaimanapun, siasatan tidak menemukan petunjuk berkaitan keganasan, dan INTERPOL menyatakan maklumat diperoleh lebih menjurus penyeludupan migran.
Mengulas lanjut, Mohd Fuad berkata, beliau menerima panggilan daripada Pusat Kawalan Operasi (OCC) kira-kira jam 2 pagi, memaklumkan MH370 hilang ketika dalam penerbangan dari Kuala Lumpur ke Beijing.
Katanya, ketika itu empat lagi penerbangan MAS menuju ke arah timur laut, masing-masing ke Tokyo, Osaka, Guangzhou dan Incheon, Seoul.
“Saya meminta pengurus operasi menghubungi kapten empat penerbangan berkenaan supaya cuba menghubungi MH370 menggunakan radio VHF, tetapi tiada jawapan.
“Kami juga cuba menghubungi pesawat itu menerusi komunikasi satelit, namun masih tiada respon, dan ketika itu kami tahu sesuatu yang serius berlaku kepada pesawat berkenaan,” katanya.
Mohd Fuad berkata, susulan itu beliau mengisytiharkan Code Red sebelum pengurusan tertinggi MAS serta pasukan berkaitan berkumpul di Pusat Operasi Kecemasan (EOC) bagi menangani krisis berkenaan.
Beliau berkata, pada awalnya pasukan tidak tahu MH370 berpatah balik kerana pergerakan dikesan radar utama tentera, sedangkan mereka berpandukan radar awam.
Katanya, keesokannya barulah mereka dimaklumkan pesawat sebenarnya membuat pusingan U.
“Kami menghubungi kawalan trafik udara Hong Kong dan Vietnam, namun kedua-duanya tidak mengesahkan pesawat memasuki ruang udara mereka,” katanya.
Mohd Fuad berkata, pencarian MH370 pada peringkat awal tertumpu di Laut China Selatan selama tujuh hari berdasarkan laluan asal pesawat, sebelum beralih ke Selat Melaka dan seterusnya ke selatan Lautan Hindi.
Beliau berkata, usaha menentukan kemungkinan laluan MH370 selepas pesawat itu hilang, turut bergantung kepada data satelit Inmarsat.
Katanya, Inmarsat bukan bertujuan menjejak lokasi pesawat, sebaliknya satelit komunikasi, dan itu kali pertama mereka menggunakan satelit berkenaan.
Lebih setahun selepas kehilangan MH370, flaperon (bahagian sayap pesawat) ditemukan di Pulau Réunion pada Julai 2015, selepas pencarian beralih ke selatan Lautan Hindi berdasarkan laluan yang dipercayai dilalui pesawat itu.
Namun, lokasi utama pesawat Boeing 777 yang membawa 239 penumpang dan kru itu masih belum ditemukan sehingga kini.
© New Straits Times Press (M) Bhd




