am@hmetro.com.my
Kuala Lumpur: Suhu permukaan laut dijangka naik sehingga dua darjah Celsius apabila fenomena Super El Nino memasuki fasa menguat pada Oktober ini.
Keadaan berkenaan akan meningkatkan cuaca panas di kawasan terjejas khususnya di negara ini dan beberapa negara rantau Asia Tenggara.
Jangkaan itu dikeluarkan badan antarabangsa seperti Pentadbiran Kebangsaan Lautan dan Atmosfera Amerika Syarikat (NOAA) dan Pertubuhan Meteorologi Sedunia (WMO).
Pakar Meteorologi Pusat Penyelidikan Antartika Kebangsaan dan Institut Sains Samudera dan Bumi, Universiti Malaya, Prof Datuk Dr Azizan Abu Samah berkata, klasifikasi El Nino kuat ditetapkan apabila indeks suhu permukaan laut melebihi 1.5 darjah Celsius manakala bacaan melebihi dua darjah Celsius dikategorikan sebagai fenomena ‘super kuat’.
“Pada masa sama, gabungan fenomena Super El Nino dengan keadaan ‘Dwikutub Lautan Hindi positif’ kebiasaannya mengakibatkan pengurangan hujan di kawasan selatan Asia Tenggara dan utara Australia.
“Keadaan ini sedang berlaku di rantau berkenaan apabila jumlah taburan hujan berkurangan sekali gus meningkatkan fasa panas,” katanya.
Azizan turut mengaitkan isu Super El Nino dengan jerebu apabila amalan pembakaran terbuka di ladang serta pembukaan tanah baru bagi kelapa sawit di Sumatera dan Kalimantan, Indonesia.
Beliau berkata, faktor El Nino menyumbang kepada kemarau dan pengurangan hujan yang mengakibatkan hutan gambut menjadi lebih kering sehingga pembakaran terbuka sukar dikawal dan mudah merebak.
“Musim kering dan panas dijangka berlaku pada Julai hingga Ogos sebelum suhu menurun sedikit apabila peralihan ke musim Monsun Timur Laut (MTL) bermula.
“Kedatangan awal MTL akan membawa musim tengkujuh khususnya di pantai timur negara.
“Namun, keadaan panas dan kering dijangka kembali berlaku di utara semenanjung bermula Februari hingga April tahun depan,” katanya.
Justeru, Azizan menasihatkan agar pihak berkaitan mengambil langkah berjaga-jaga terhadap paras air empangan yang masih belum kering pada masa ini memandangkan tempoh kritikal dijangka berlaku sekitar bulan Mac hingga April.
© New Straits Times Press (M) Bhd




