Marsha, Hazama raih trofi sulung AIM

Marsha, Hazama raih trofi sulung AIM

Kuching : Penyanyi Marsha Milan dan Hazama mencatat pencapaian membanggakan dalam karier muzik apabila masing-masing buat julung kali meraih trofi pada Anugerah Industri Muzik ke-25 (AIM 25).

Marsha memenangi kategori Lagu Etnik Terbaik menerusi Pelangi Pasti ciptaan Amir Jahari dan Kulit Album Terbaik bagi album Misompuru rekaan Aidil Saleh, manakala Hazama membawa pulang trofi Runut Bunyi Terbaik Dalam Filem/Drama menerusi lagu Aku Bukan Narsisis ciptaan Farouk Roman.

Bagi Marsha, pengiktirafan berkenaan cukup bermakna dalam kariernya selepas 21 tahun menanti detik untuk meraih trofi di pentas AIM.

“Terus-terang, saya sebenarnya sangat-sangat terharu. Apa pun, saya sangat berterima kasih dan bersyukur kerana ini adalah antara anugerah yang saya nantikan sejak 21 tahun lalu.

“Ini antara pengiktirafan yang saya tunggu kerana baru beberapa tahun kebelakangan ini saya dapat betul-betul berkarya dengan muzik saya.

“Alhamdulillah, saya juga berterima kasih kepada Amir kerana menghasilkan lagu yang sangat indah dan memberi inspirasi,” katanya pada sidang media AIM 25 di Borneo Convention Centre Kuching (BCCK) di sini, malam tadi.

Marsha berkata, perjalanan menghasilkan karya yang berteraskan identiti Borneo turut menjadi antara sumber kekuatan untuk terus mempercayai kemampuan diri meskipun terpaksa berdepan pelbagai ujian sepanjang bergelar anak seni.

“Saya sangat bersyukur sekarang. Saya sebenarnya tidak pernah berhenti mempercayai diri sendiri walaupun kadang-kadang saya fikir banyak ujian yang datang.

“Antara pembakar semangat saya sepanjang berkarya adalah lagu-lagu yang berkaitan dengan DNA saya, iaitu Borneo. Misompuru ini adalah antara projek pertama yang saya rasa saya berikan segala-galanya,” katanya.

Menurut Marsha, dua trofi diraih juga bukan kejayaan peribadi semata-mata, sebaliknya hasil kerjasama dan curahan kasih sayang bersama rakan-rakan yang terbabit dalam penghasilan album berkenaan.

“Lagu-lagu ini pula adalah gabungan dalam album kawan-kawan baik saya. Saya sangat bersyukur kerana ada begitu banyak kasih sayang dalam menghasilkan album ini.

“Saya rasa dua anugerah yang saya menangi hari ini adalah hasil kerjasama dan kasih sayang saya bersama kawan-kawan terbaik saya,” katanya.

Sementara itu, Hazama menyifatkan kemenangan menerusi Aku Bukan Narsisis sebagai pengiktirafan yang cukup bermakna selepas dua dekad membina kerjaya dalam industri muzik.

Penyanyi itu mengakui masih sukar mempercayai dirinya mampu membawa pulang trofi AIM, apatah lagi sebelum ini dia sudah terbiasa pulang dengan tangan kosong tanpa sebarang kemenangan setiap kali menghadiri anugerah.

“Selalunya pengalaman saya apabila datang ke majlis anugerah, apabila tercalon, saya balik seperti biasa sahaja. Jadi, kali ini adalah pertama kali saya rasa macam ini. Rasa gembira dan saya sendiri tidak tahu mahu rasa bagaimana,” katanya.

Hazama berkata, kemenangan itu membuatkannya percaya 20 tahun yang dilalui dalam karier muzik bukan sesuatu yang sia-sia, malah menjadi bukti terdapat perkembangan dalam penghasilan karyanya.

“Saya rasa tidak sia-sia saya menghabiskan 20 tahun dalam karier muzik. Maksudnya, ada sedikit peningkatan dalam karya saya, Alhamdulillah. Semuanya kerana lagu Farouk.

“Anugerah ini boleh dikatakan pengubat hati saya. Sebab sepanjang 20 tahun ini, saya pernah rasa macam, ‘Industri tidak pernah nampak saya ke?’

“Jadi, apabila hari ini saya mendapat pengiktirafan ini, saya rasa macam, mungkin sudah sampai masa untuk saya buat dengan lebih serius,” katanya.

© New Straits Times Press (M) Bhd

Scroll to Top