Pusat Hiburan Gay Kenakan Bayaran Sehingga RM700, Diserbu Imigresen

Pusat Hiburan Gay Kenakan Bayaran Sehingga RM700, Diserbu Imigresen

Sebuah pusat hiburan di Jalan Klang Lama, Kuala Lumpur yang dipercayai menawarkan persembahan tarian warga asing melibatkan golongan ‘sejenis’ diserbu Jabatan Imigresen Malaysia (JIM) dalam operasi khas awal pagi Sabtu.

Serbuan pada pukul 12.05 tengah malam itu membawa kepada penahanan empat lelaki warga asing terdiri daripada tiga warga China dan seorang warga Filipina berusia antara 21 hingga 31 tahun.

Ketua Pengarah Imigresen, Datuk Zakaria Shaaban berkata, operasi berkenaan dijalankan hasil maklumat awam serta risikan selama sebulan oleh Bahagian Perisikan dan Operasi Khas, Ibu Pejabat Imigresen Putrajaya.

Katanya, operasi itu turut mendapat kerjasama Agensi Antidadah Kebangsaan (AADK) Ibu Pejabat dan Kuala Lumpur.

“Hasil operasi, seramai empat warga asing berjaya ditahan di pusat hiburan berkenaan.

“Semakan awal mendapati kesemua mereka tidak memiliki sebarang dokumen perjalanan atau pas yang sah untuk berada di negara ini,” katanya dalam kenyataan hari ini.

Menurut Zakaria, pusat hiburan terbabit dipercayai telah beroperasi sejak tahun lalu dengan menyasarkan pelanggan tempatan dan warga asing di sekitar Lembah Klang.

“Modus operandi pusat hiburan ini menawarkan hiburan dan persembahan tarian oleh warga asing melibatkan golongan ‘sejenis’.

“Bayaran yang dikenakan bermula RM53 hingga RM700 mengikut minuman dan tempahan meja oleh pelanggan,” katanya.

Kesemua warga asing yang ditahan dipercayai melakukan kesalahan di bawah Seksyen 6(1)(c) Akta Imigresen 1959/63 dan dibawa ke Pejabat Imigresen Putrajaya untuk tindakan lanjut.

Dalam operasi sama, tiga lelaki warga tempatan turut diberikan notis untuk hadir ke pejabat bagi membantu siasatan.

Zakaria berkata, JIM akan terus bekerjasama dengan agensi penguat kuasa lain dalam melaksanakan operasi secara berterusan dan tegas bagi membanteras aktiviti yang melanggar undang-undang negara.

“Langkah ini bagi memastikan keselamatan dan kedaulatan negara sentiasa terpelihara,” tegasnya.


Scroll to Top