SEVILLE, Sepanyol: Sepanyol bangkit daripada permulaan mengecewakan di Euro 2020 dengan membelasah Slovakia 5-0 di Stadium La Cartuja, Seville.
Kemenangan itu melayakkan Sepanyol kendalian Luis Enrique untuk mara ke kelompok 16 terakhir sebagai naib juara Kumpulan E di belakang Sweden.
Alvaro Morata terlepas peluang untuk meletakkan Sepanyol di depan selepas gagal menyempurnakan sepakan penalti tetapi asakan pada minit ke-30 menyaksikan pemain Slovakia Martin Dubravka tertampan bola ke gawang sendiri.
Sepanyol memastikan babak pertama berakhir dengan kedudukan selesa selepas Aymeric Laporte menambah jaringan dalam masa kecederaan.
Bersambung selepas rehat, Sepanyol tidak menunggu lama apabila meledak gol ketiga menerusi Pablo Sarabia pada minit ke-56, diikuti jaringan Ferran Torres 11 minit kemudian.
Peluang Slovakia untuk mara sebagai salah satu daripada empat pasukan ketiga terbaik tertutup sepenuhnya selepas Juraj Kucka menjaringkan gol sendiri pada minit ke-71.
© New Straits Times Press (M) Bhd




