Tumpu kepada perkara yang boleh dikawal – Rashford

Tumpu kepada perkara yang boleh dikawal – Rashford

Atlanta: Marcus Rashford percaya disiplin dan semangat berpasukan dalam skuad England mampu menjadi pemacu utama ketika Three Lions meneruskan kempen Piala Dunia 2026.

Penyerang itu yang sudah mengharungi enam kejohanan utama bersama England menyedari tekanan dan harapan tinggi yang hadir apabila mewakili negara di pentas terbesar bola sepak dunia.

Namun, Rashford berkata skuad kendalian Thomas Tuchel tidak terlalu memikirkan tekanan luar, sebaliknya memberi tumpuan kepada perkara yang mampu mereka kawal.

“Ia satu lagi kemuncak dalam karier, tahap tertinggi yang boleh dicapai sebagai pemain. Kami semua tidak sabar untuk menjalankan tugas sebaik mungkin,” katanya.

Menurut pemain Manchester United itu, persiapan England bukan hanya bermula menjelang kejohanan, sebaliknya sudah dibentuk sejak hari pertama Tuchel mengambil alih pasukan.

“Ramai beranggapan persiapan bermula sekarang, tetapi semuanya sudah bermula sejak pengurus tiba. Segala yang kami lakukan membawa kepada detik ini,” katanya.

Rashford turut menyifatkan semangat kekeluargaan dalam skuad sebagai antara kekuatan utama England ketika ini.

“Kami satu pasukan dan perlu berjuang antara satu sama lain seperti mana kami berjuang bersama kelab masing-masing.

“Itu sudah menjadi kebiasaan. Semua pemain mahu bermain dan ramai yang layak diturunkan. Ada masanya pemain akan kecewa, tetapi ia bergantung kepada cara anda menghadapinya,” katanya.

Rashford turut menegaskan England perlu mengekalkan intensiti permainan yang tinggi untuk menyukarkan lawan.

“Kami perlu membawa intensiti yang sukar ditandingi. Jika dapat bermain pada tahap itu, ia mampu menghadiahkan kemenangan.

“Satu perkara yang boleh kami jangka adalah cara kami bermain sepanjang 90 atau 120 minit. Jadi kami hanya perlu fokus kepada perkara itu dan terus memaksa diri menjadi lebih baik. Kami pasti mampu melakukannya,” katanya.

England kini mengalihkan tumpuan kepada aksi menentang Ghana dengan tiket ke pusingan 32 terbaik menjadi taruhan.

Kemenangan dalam perlawanan itu bukan sahaja memastikan permulaan sempurna dalam Kumpulan L diteruskan, malah memberi peluang kepada Three Lions menamatkan saingan sebagai juara kumpulan.

© New Straits Times Press (M) Bhd

Scroll to Top