SHAH ALAM – Tuduhan mengenai penglibatan Timbalan Menteri di Jabatan Perdana Menteri (Hal Ehwal Agama), Senator Marhamah Rosli dengan gerakan New Age perlu disiasat oleh badan lain yang tidak mempunyai kaitan dengan pengawasan timbalan menteri berkenaan.
Timbalan Pengerusi Majlis Ulama UMNO Malaysia, Datuk Dr Khairuddin Aman Razali berkata, langkah itu penting bagi mengelakkan timbul keraguan awam terhadap ketelusan siasatan berhubung dakwaan berkenaan.
“Tuduhan penglibatan YB Timbalan Menteri di Jabatan Perdana Menteri (Hal Ehwal Agama) dengan gerakan New Age yang dipertikaikan ajaran dan pemikirannya dari sudut Islam perlu disiasat oleh satu badan lain yang tiada kaitan dengan pengawasan YB Timbalan Menteri kerana ia boleh menimbulkan keraguan awam terhadap ketelusan,” katanya dalam satu hantaran di Facebook pada Ahad.
Beliau berkata, tuduhan berkenaan turut membabitkan kredibiliti Kerajaan Perpaduan dari sudut penyelarasan pengurusan hal ehwal Islam dalam negara.
“Tuduhan-tuduhan ini melibatkan kredibiliti Kerajaan Perpaduan dari sudut penyelarasan pengurusan hal ehwal Islam dalam negara,” katanya.
Kenyataan Khairuddin itu dikeluarkan susulan isu yang mengaitkan Marhamah dengan gerakan New Age yang timbul sejak kebelakangan ini.
Pada 18 September lalu, Pejabat Timbalan Menteri di Jabatan Perdana Menteri (Hal Ehwal Agama) menafikan dakwaan yang mengaitkan Marhamah dengan amalan perdukunan, sihir, azimat serta ajaran New Age.
Menurut kenyataan itu, tangkap layar hantaran Marhamah bertarikh 20 September 2019 yang disebarkan dibuat dalam konteks pembangunan insan dan bukan sokongan atau pengiktirafan terhadap keseluruhan pegangan, ajaran atau amalan individu berkenaan.
Pejabat itu turut menjelaskan bahawa Marhamah tidak pernah berguru, menghadiri kelas, bertemu atau berhubung secara langsung dengan individu yang dikaitkan, selain tidak pernah mengiktiraf individu terbabit sebagai guru atau mengajar, mempromosi mahupun menyebarkan amalan perdukunan, sihir, azimat atau ajaran New Age.
Dalam perkembangan terbaharu, Jabatan Kemajuan Islam Malaysia (JAKIM) mengadakan sesi pertemuan dan tabayyun bersama Marhamah bagi mendapatkan penjelasan secara langsung berhubung isu yang mengaitkan beliau dengan gerakan New Age.
Ketua Pengarah JAKIM, Datuk Dr Sirajuddin Suhaimee berkata, sesi berkenaan turut membabitkan Mufti Wilayah Persekutuan, Panel Akar Akidah JAKIM serta pihak berkaitan bagi meneliti isu itu dari sudut disiplin akidah, autoriti agama dan latar pemikiran New Age.
Menurut beliau, hasil pertemuan itu, beberapa teguran, nasihat dan panduan diberikan termasuk berkaitan kandungan serta pengisian program yang dijalankan, selain pendekatan yang digunakan dan mempunyai implikasi terhadap agama serta akidah.
JAKIM turut menegaskan bahawa Jabatan Perdana Menteri (Hal Ehwal Agama) kekal konsisten dan tegas dalam menolak sebarang ajaran, fahaman, amalan atau pendekatan yang bertentangan dengan syarak dan prinsip akidah Islam.



