MEGAHNYA sukan rali dalam fikiran saya perca-perca sahaja pada usia enam tahun. Tapi saya tahu ia penting apabila mengenang kembali budak-budak kampung berkumpul di halaman rumah, menayangkan kereta lumba mainan masing-masing yang dibeli di pekan. Hujung minggu, mereka merancang perlumbaan dengan trek dibina sendiri.
Juga siri pujuk rayu abang-abang saya minta dibelikan kereta lumba.
Sebelum trend beyblade melanda kampung, kereta lumba adalah perkara mustahak. Belum lagi kotak-kotak di kedai habis dirembat budak-budak sebab masing-masing mahu buat simulasi konon berada dalam kereta lumba. Saya sangat muda untuk kenal pasti mana datangnya kecanduan itu dalam kalangan budak kampung, tapi sekarang, saya cukup yakin bahawa Karamjit Singh ialah penyebabnya.
Memuatkan artikel berkaitan…
Awal 2000-an, Malaysia adalah ‘Abang Long’ dunia rali menyapu gelaran juara dunia tiga tahun berturut-turut berkat jasa Karamjit. Ketika itu roh ‘Malaysia Boleh’ meresap sangat hebat, masing-masing mahu membuktikan bahawa semua boleh dilakukan demi negara. Merekod perjalanan seorang legenda sukan di layar lebar bukanlah pilihan konvensional kerana secara datanya ia sukar dijual.

Tapi nampaknya Astro Shaw dan kawan-kawannya iaitu EJJ Films, Enotech Pictures, Aventure Space dan Woohoo Pictures sepakat untuk menongkah arus, percaya bahaya negara memerlukan sebuah cerita penting untuk dibincangkan dalam ‘rasa’ berbeza berbanding apa yang sudah ada di layar sepanjang tahun ini.
Membawa kembali Chiu Keng Guan duduk di kerusi pengarah adalah pilihan yang tepat kerana tidak ada yang mampu mengendalikan naskhah kesukanan begitu halus sepertinya.
Tepat sedekad lalu Chiu mengejutkan Malaysia dengan Ola Bola yang meraih kutipan panggung melebihi RM16 juta, kini dia hadir dengan sentuhan yang sama dalam Terbang. Chiu berjaya memilih posisi, dan meletakkan Terbang sebagai sebuah filem – bukan dokumentari atau iklan penaja mahupun kempen Hari Merdeka negara walau ada beberapa adegan monolog terlalu meleret sedikit mengganggu pengalaman menonton.

Karamjit atau Ajeet dalam Terbang ditampilkan semanusia mungkin dengan segala kedegilan, kekeliruan, buntu dan tekad yang bulat. Chiu dan juga pasukan penulis skripnya berjaya meletakkan penonton sama menjadi sebahagian daripada perlumbaan dengan adrenalin saling berombak setiap kali adegan perlumbaan, yang gagal saya dapatkan semasa menonton filem biopik sukan Malaysia menerusi filem-filem sebelum ini.
Terbang berjaya ‘make believe’ baik daripada kejadian kemalangan, perlumbaan hingga prestasi pelakonnya. Saya kuat percaya Chiu sebagai pengarah pasti ada method tersendiri ‘mengurung’ karakter dalam pelakonnya sehingga ada adegan perbualan suami isteri (yang tidak boleh saya tuliskan kerana spoiler) terasa begitu kuat menampar hulu jantung dan pilu sekali. Terbang berjaya menjadi filem yang memberi ‘rasa’.

Apa selepas itu?
Layar ditutup dan Terbang meninggalkan penonton dengan perasaan baik. Tapi bukan itu niat Terbang yang saya baca. Terbang membawa dilema dan sindiran bahawa kita suka meraikan kejayaan tapi tidak reti menghargai prosesnya. Seperti Rahim yang yakin rali akan membawa negara lebih jauh, tapi dia sukar mendapatkan kepercayaan penaja.
Selepas Terbang seminggu di panggung, seorang penonton berkongsi foto pernah bergambar dengan legenda Karamjit Singh yang kini menjadi pemandu e-hailing, persoalannya, apa jadi dengan orang berjasa ini?
Sistem apa yang kita pakai hingga mereka terpinggir? Adakah kita hanya bias kepada olimpik semata-mata, bahkan atlet olimpik, adakah pembayaran insentif mereka bermaruah jika dibandingkan negara Asia Tenggara lainnya?
Terbang adalah filem patriotik bukan kerana lagu Faizal Tahir atau pelakonnya yang berbilang bangsa, tapi kerana ia sebuah filem penting mempersoalkan di mana letak duduk atlet yang membuat kita bangga menjadi anak Malaysia selama ini. Standing ovation saya di dalam panggung adalah kerana itu.




