Kematian pelajar: Polis siasat dakwaan buli, hukum kerana disyaki hisap vape

Kematian pelajar: Polis siasat dakwaan buli, hukum kerana disyaki hisap vape

Seremban: Polis menyiasat kemungkinan wujud unsur buli berhubung kematian pelajar lelaki tingkatan dua di sebuah asrama sekolah di Kuala Pilah, termasuk dakwaan mangsa dipukul kerana disyaki menghisap vape.

Ketua Polis Negeri Sembilan, Datuk Alzafny Ahmad berkata, pihaknya menerima maklumat berhubung dakwaan berkenaan dan siasatan masih dijalankan.

“Siasatan masih dijalankan sama ada wujud buli atau tidak sebelum ini,” katanya, hari ini.

Alzafny berkata, keputusan bedah siasat juga masih belum diperoleh berikutan polis masih menunggu laporan daripada Jabatan Kimia.

Semalam, media melaporkan Alzafny berkata, hasil siasatan awal mendapati kejadian dipercayai berpunca daripada tindakan mangsa yang melanggar peraturan sekolah.

Susulan itu, seorang pelajar tingkatan empat dipercayai menegur dan ‘menghukum’ mangsa berhubung kesalahan berkenaan.

Setakat semalam, polis sudah merekodkan keterangan 21 individu termasuk pelajar, guru dan ibu bapa mangsa bagi membantu siasatan.

Seorang pelajar berusia 16 tahun direman selama enam hari bagi membantu siasatan mengikut Seksyen 302 Kanun Keseksaan.

Remaja itu yang ditemui tidak sedarkan diri di asrama sebuah sekolah disahkan meninggal dunia selepas dibawa ke Hospital Tuanku Ampuan Najihah, Kuala Pilah.

© New Straits Times Press (M) Bhd

Scroll to Top