nurul.hidayah@hmetro.com.my
Kuala Lumpur: Mesyuarat dihadiri 25 Ahli Dewan Undangan Negeri (ADUN) Negeri Sembilan di Ibu Pejabat UMNO, di sini selesai pada 11 malam tadi, selepas berlangsung kira-kira tiga jam.
Bagaimanapun, inti pati mengenai perbincangan itu tidak diketahui memandangkan kesemua ADUN yang hadir mengelak daripada bersemuka pengamal media yang berkumpul seawal 7 malam tadi.
Difahamkan, mereka keluar dari bangunan Menara Dato Onn menggunakan pintu belakang bagi mengelak pengamal media yang menunggu di pintu utama.
Terdahulu, beberapa ADUN Negeri Sembilan tiba di Ibu Pejabat UMNO bagi menghadiri perbincangan berhubung kemelut yang berlaku di negeri itu.
Antara yang dilihat hadir adalah Menteri Besar Negeri Sembilan Datuk Ismail Lasim; ADUN Chembong Datuk Zaifulbahri Idris yang juga Exco Pendidikan, Pengajian Tinggi dan Modal Insan serta ADUN Linggi Datuk Faizal Ramli yang juga Exco Kemajuan Luar Bandar dan Wilayah.
Turut kelihatan ADUN Sikamat Datuk Razali Abu Samah yang juga Exco Pelancongan, Keseniaan Kebudayaan dan Warisan dan ADUN Pertang, Datuk Seri Jalaluddin Alias yang juga Pengerusi Badan Perhubungan UMNO Negeri Sembilan.
Mereka dilihat hadir berasingan seawal 7.30 malam tadi.
Sebelum ini, media melaporkan Barisan Nasional (BN) akan mengadakan mesyuarat dengan 25 ADUN Negeri Sembilan di Ibu Pejabat UMNO malam ini dengan Pengerusi Datuk Seri Dr Ahmad Zahid Hamidi dilaporkan berkata, mesyuarat itu bagi menyelaras usaha menyelesaikan kemelut dihadapi termasuk krisis takhta Yang di-Pertuan Besar Negeri Sembilan.
© New Straits Times Press (M) Bhd




