Kongsi secara bertanggungjawab

Kongsi secara bertanggungjawab

Kanak-kanak kini lebih kerap dilihat dalam ruang digital berbanding sebelum ini. Gambar dan video keluarga yang dahulunya hanya disimpan dalam album peribadi kini dikongsi secara terbuka, malah sesetengah kanak-kanak telah menjadi ‘influencer cilik’ dengan pengikut yang ramai serta perjanjian tajaan jenama. Amalan ini dikenali sebagai sharenting, gabungan perkataan ‘share’ dan ‘parenting’. Ia menimbulkan persoalan sebenar tentang privasi, keselamatan dan perkembangan jangka panjang seorang kanak-kanak.

Satu kajian berskala kebangsaan yang dijalankan sekumpulan penyelidik dari Universiti Malaya mendapati amalan ini sememangnya meluas, dengan 62.2 peratus daripada 325 orang ibu bapa yang disoal selidik menyatakan bahawa mereka aktif berkongsi kandungan tentang anak-anak mereka, kebanyakannya detik harian dan aktiviti seharian, diikuti pencapaian akademik dan detik penting dalam kehidupan. Bagi 395 orang dewasa yang disoal selidik, iaitu mereka yang masih belum menjadi ibu bapa, 37.7 peratus melaporkan turut melakukan perkara yang sama, selalunya berkongsi aktiviti harian atau pencapaian sekolah adik-beradik atau ahli keluarga mereka.

Ini menunjukkan sharenting bukan lagi terhad kepada ibu bapa sahaja, sebaliknya menjadi tabiat sosial yang meluas. Kajian ini turut mendapati amalan perkongsian yang beretika seperti meminta izin anak terlebih dahulu, adalah amalan lebih kukuh bagi kesejahteraan kanak-kanak berbanding kesedaran umum ibu bapa tentang keselamatan.

Pandangan psikologi: Di sebalik fenomena ini

Daripada sudut pandang psikologi perkembangan, terdapat tiga teori klasik yang dapat membantu menjelaskan mengapa pendedahan berterusan dalam ruang digital boleh memberi kesan kepada perkembangan dan kesejahteraan kanak-kanak.

Menurut teori psikososial Erik Erikson, kanak-kanak membina rasa inisiatif dan keyakinan diri sejak usia awal prasekolah lagi, melalui permainan bebas dan rutin harian. Asas ini kelak menyokong pembentukan identiti yang lebih matang semasa alam remaja. Jika proses perkembangan awal ini kerap terganggu oleh kehadiran kamera, kesannya tidak terhad kepada zaman kanak-kanak semata-mata; ia turut berterusan ke peringkat perkembangan seterusnya.

Teori pembelajaran sosial Albert Bandura pula mencadangkan kanak-kanak belajar bukan sekadar melalui arahan, tetapi juga dengan memerhati dan meniru orang dewasa serta rakan sebaya di sekeliling mereka. Jika tindakan ‘berlakon di depan kamera’ menjadi sebahagian daripada rutin harian, kanak-kanak, yang kemampuan menaakulnya masih dalam proses perkembangan, mungkin menganggap perkongsian setiap aspek kehidupan mereka dalam talian sebagai sesuatu yang biasa, bukannya sesuatu yang perlu dipersoalkan.

Seterusnya, Teori Perapatan oleh John Bowlby pula menegaskan perhubungan selamat antara ibu bapa dan anak terbina melalui interaksi peribadi yang konsisten dan penuh kasih sayang, jauh daripada tontonan orang lain. Namun, apabila detik-detik intim sebegini kerap dikongsi demi tontonan umum, nilai keintiman itu berisiko bertukar menjadi persembahan, bukan lagi ruang selamat yang khusus milik anak dan ibu bapa sahaja.

Teori ini tidak bermaksud melibatkan anak dalam kandungan digital semestinya salah. Namun, ia mengingatkan kita sebagai ibu bapa dan orang dewasa bahawa di sebalik setiap kandungan yang dimuat naik, terdapat proses perkembangan yang sedang berlaku dan keseimbangan antara berkongsi dengan melindungi perlu sentiasa dijaga.

Dapatan kajian ilmiah turut menyokong perkara ini. Dalam kajian yang sama, kedua-dua kumpulan ibu bapa dan orang dewasa melaporkan tahap kesedaran keselamatan digital, iaitu pemahaman tentang tetapan privasi, risiko dan amalan yang selamat yang tinggi. Namun, secara realitinya, tahap kesedaran ini hampir tidak mempunyai kaitan dengan tingkah laku perkongsian yang lebih selamat dan bertanggungjawab. Dengan kata lain, ibu bapa dan orang dewasa yang mengetahui risiko dan keselamatan digital tidak semestinya bertingkah laku selari dengan kesedaran tersebut. Jurang antara pengetahuan dan tindakan inilah yang cuba dirapatkan oleh garis panduan berikut.

1. Amalan perkongsian yang bertanggungjawab

Bagi ibu bapa, penjaga dan orang dewasa, berikut adalah beberapa panduan mudah untuk memastikan perkongsian kandungan kanak-kanak kekal selamat dan beretika.

2. Minta izin sebelum muat naik

Walaupun kanak-kanak masih terlalu muda untuk memberikan persetujuan, orang dewasa masih boleh memerhati sama ada kanak-kanak itu kelihatan selesa, serta menghormati jawapan ‘tidak’ mereka. Ini kelihatan seperti perkara kecil, namun tindakan ini secara tidak langsung mengiktiraf perasaan dan autonomi kanak-kanak, bukannya melayan mereka seolah-olah kanak-kanak tiada hak bersuara.

3. Lindungi maklumat mereka

Butiran seperti uniform sekolah, papan tanda jalan atau lokasi yang mudah dikenali boleh mendedahkan tempat tinggal, sekolah atau tempat seorang kanak-kanak sering berada. Oleh itu, mengelakkan perincian sebegini dapat mengurangkan risiko pendedahan. Kandungan yang dirakam semasa saat peribadi, seperti di bilik air, kolam renang, atau ‘toilet training’, amat mudah disalahguna dan wajar dielakkan sepenuhnya.

Penulis Pensyarah Kanan di Jabatan Psikologi Pendidikan dan Kaunseling, Fakulti Pendidikan, Universiti Malaya (UM)

© New Straits Times Press (M) Bhd

Scroll to Top