Menteri Besar Negeri Sembilan, Datuk Ismail Lasim diarahkan menghadap Yang di-Pertuan Besar Negeri Sembilan, Tuanku Muhriz Tuanku Munawir bagi membincangkan langkah penyelesaian terhadap kemelut adat yang sedang berlaku di negeri itu.
Foto: NST Online
Memetik laporan Utusan, Timbalan Perdana Menteri, Datuk Seri Dr. Ahmad Zahid Hamidi berkata, penyelesaian sebaiknya dicari di peringkat negeri bagi mengelakkan keadaan menjadi semakin tegang sehingga rakyat menerima kesannya.
Menurut beliau, Ismail turut diberikan mandat untuk mengadakan pertemuan dengan Undang Yang Empat, Tunku Besar Tampin, Datuk Shahbandar serta hierarki adat negeri bagi mencari jalan keluar terhadap kemelut yang berpanjangan.
“Yang penting, rakyat mesti diberikan keutamaan. Masalah mereka mesti ditangani dan mesti disantuni.
“Kita cari jalan penyelesaian yang baik di peringkat negeri dan tentunya kita tidak mahu keadaan semakin keruh dan rakyat akan dimangsakan dengan situasi ini,” katanya dalam sidang akhbar selepas merasmikan Perhimpunan Agung Tahunan Ke-18 Parti Makkal Sakti Malaysia di Pusat Dagangan Dunia Kuala Lumpur semalam.
Krisis adat di Negeri Sembilan memasuki episod baharu susulan proklamasi berhubung penurunan takhta Tuanku Muhriz sebagai Yang di-Pertuan Besar Negeri Sembilan yang didakwa telah diputuskan dan disahkan secara sebulat suara oleh Ahli-Ahli Majlis Mesyuarat Negeri (Exco).
Susulan itu, Tuanku Muhriz membatalkan pelantikan Exco berkuat kuasa serta-merta.
Dalam perkembangan sama, Ahmad Zahid berkata pengisytiharan darurat tidak wajar dijadikan pilihan bagi menangani kemelut tersebut kerana tiada sebarang kekecohan dari aspek keselamatan berlaku di Negeri Sembilan.
“Saya tidak fikir ia harus menuju ke arah itu sebab tidak ada sebarang kekecohan dari segi keamanan di Negeri Sembilan dan tidak perlu pun perkara itu untuk difikirkan.
“Tentu ada option (pilihan) yang lebih baik selain daripada mengisytiharkan darurat dan menubuhkan Emergency Council (Majlis Darurat) di Negeri Sembilan,” jelasnya.
Foto: Utusan
Beliau berkata, perbincangan bersama Ahli Dewan Undangan Negeri (ADUN) Barisan Nasional (BN) dan Pas Negeri Sembilan turut diadakan semalam bagi menyelaras usaha mencari penyelesaian terhadap kemelut berkenaan.
Ahmad Zahid yang juga Presiden UMNO berkata, perbincangan itu bertujuan mengkoordinasikan langkah penyelesaian tanpa mencampuri urusan pentadbiran kerajaan negeri.
“Saya sendiri pada malam ini (semalam) akan mengadakan mesyuarat bersama seluruh ADUN BN dan juga ADUN daripada Pas serta parti-parti lain untuk saya mengkoordinasikan mesyuarat,” ujarnya.
Sementara itu, Ahmad Zahid yang juga Pengerusi BN berkata, parti itu akan berbincang dengan pihak berkaitan termasuk mengenai kemungkinan Pas menggunakan logo BN pada Pilihan Raya Negeri (PRN) Melaka susulan penggantungan Perikatan Nasional (PN) oleh Jabatan Pendaftaran Pertubuhan.
Mengulas mengenai masa depan BN dalam Kerajaan Perpaduan, Ahmad Zahid berkata kerjasama berkenaan termasuk dengan Pakatan Harapan (PH) akan berakhir sebaik sahaja Parlimen dibubarkan.
Menurutnya, keputusan BN untuk menyertai Kerajaan Perpaduan selepas Pilihan Raya Umum ke-15 (PRU15) dibuat susulan titah Yang di-Pertuan Agong bagi memastikan kestabilan politik negara.
“Dalam keadaan kompleks, kita mahu satu kompas tetap. BN buat keputusan bersama kerajaan selepas PRU15, komitmen kita tetap berada di dalam kerajaan sehingga tamat penggal Parlimen ke-15,” tambahnya lagi.
Artikel lain: Gambaran tak lengkap! Ismail Lasim jawab teguran PM Anwar terkait isu takhta
Beliau berkata, komitmen tersebut merupakan janji BN kepada Yang di-Pertuan Agong dan kemudiannya direalisasikan menerusi pembentukan Kerajaan Perpaduan.
Bagaimanapun, Ahmad Zahid menegaskan penyertaan BN dalam kerajaan tidak bermaksud parti itu kehilangan identiti atau tidak lagi mempunyai pendirian sendiri.
Sumber: Utusan (Aslinda Nasir)




