“Ikon Malaysia, penuh kelembutan” – Tiga bekas PM kenang pemergian Tun Siti Hasmah

“Ikon Malaysia, penuh kelembutan” – Tiga bekas PM kenang pemergian Tun Siti Hasmah

Pemergian Tun Dr Siti Hasmah Mohd Ali, isteri kepada bekas Perdana Menteri Tun Dr Mahathir Mohamad, mengundang ucapan takziah daripada beberapa bekas Perdana Menteri negara.

Foto: MalaysiaGazette

Tun Dr Siti Hasmah meninggal dunia di Institut Jantung Negara (IJN), pagi ini pada usia 100 tahun. Berita pemergian Allahyarhamah disahkan anaknya, Tan Sri Mokhzani Mahathir.

Bekas Perdana Menteri, Tan Sri Muhyiddin Yassin menzahirkan ucapan takziah kepada Tun Dr Mahathir serta seluruh keluarga atas pemergian insan yang disifatkannya sebagai tokoh wanita terbilang dan ikon Malaysia.

“Saya amat berdukacita menerima berita pemergian Almarhumah yang sepanjang hayatnya dikenali sebagai seorang tokoh Wanita yang terbilang dan Ikon Malaysia, wanita yang penuh kelembutan, kasih sayang, kebijaksanaan dan sentiasa merendah diri.
“Bagi saya, Almarhumah bukan sahaja seorang tokoh yang disegani rakyat Malaysia, malah seorang insan yang sentiasa menunjukkan sifat keibuan, kemuliaan budi dan keprihatinan kepada semua yang mengenalinya,” katanya.

Muhyiddin turut mengenang Allahyarhamah sebagai sumber kekuatan dan pendamping setia kepada Tun Dr Mahathir, selain menyifatkan beliau sebagai insan yang sentiasa membawa ketenangan kepada orang di sekelilingnya.

“Jasa, pengorbanan dan sumbangan beliau kepada negara akan terus dikenang oleh seluruh rakyat Malaysia,” ujarnya.

Sementara itu, bekas Perdana Menteri, Datuk Seri Najib Razak turut menyampaikan ucapan takziah kepada Tun Dr Mahathir dan keluarga atas pemergian Allahyarhamah.

“Salam takziah kepada Tun Dr Mahathir Mohamad dan keluarga atas pemergian Tun Dr Siti Hasmah Mohamad Ali pagi ini.
“Semoga Allah SWT mencucuri rahmat ke atas roh Allahyarhamah, mengampuni segala dosanya dan menempatkannya dalam kalangan orang-orang yang beriman dan beramal soleh,” tulisnya di Facebook.

Dalam pada itu, bekas Perdana Menteri, Datuk Seri Ismail Sabri Yaakob turut menzahirkan rasa dukacita atas pemergian Allahyarhamah yang disifatkannya sebagai tokoh wanita yang disegani dan dekat di hati rakyat.

Beliau berkata pemergian Allahyarhamah pastinya meninggalkan kesan mendalam kepada keluarga serta seluruh rakyat yang mengenali dan menghargai jasa beliau.

“Pemergian Almarhumah pastinya meninggalkan kesan yang mendalam buat keluarga serta seluruh rakyat yang mengenali dan menghargai jasa beliau.
“Salam takziah buat YAB Tun Dr. Mahathir Mohamad serta seluruh keluarga Almarhumah. Semoga Allah SWT memberikan ketabahan dalam menghadapi kehilangan ini,” luahnya.

Allahyarhamah Tun Dr Siti Hasmah dilahirkan pada 12 Julai 1926 dan merupakan antara doktor wanita Melayu terawal di negara ini.

Beliau pernah berkhidmat dalam bidang kesihatan awam serta aktif dalam pelbagai kegiatan berkaitan kesihatan dan kebajikan masyarakat. Allahyarhamah dan Tun Dr Mahathir berkahwin pada 5 Ogos 1956 dan dikurniakan tujuh cahaya mata.

Sumber: Facebook Najib Razak, Ismail Sabri, Muhyiddin Yassin

Scroll to Top