nurul_husna@mediaprima.com.my
Kuala Lumpur: Kesesakan teruk di Bangunan Satelit Lapangan Terbang Antarabangsa Kuala Lumpur (KLIA), Sepang, hari ini, berpunca daripada pengoperasian hanya satu perkhidmatan Aerotrain susulan kerja penyelenggaraan rutin pada awal pagi.
Isu berkenaan mula mendapat perhatian selepas seorang pengguna Threads, @fadlymatsaid, memuat naik beberapa gambar memaparkan ramai penumpang membanjiri kawasan balai ketibaan.
Menerusi hantaran itu, dia meluahkan kurang senang dan mempersoalkan tindakan susulan serta pelan alternatif pengendali lapangan terbang sekiranya berlaku sebarang gangguan pada perkhidmatan Aerotrain.
”Satu Aerotrain terganggu, satu Bangunan Satelit jadi lautan manusia. Inilah keadaan di KLIA pagi ini.
”Berapa kali lagi penumpang kena hadap situasi macam ni?
“KLIA pintu masuk negara, bila tren bermasalah pelan alternatif mesti bergerak pantas. @MalaysiaAirports, apa sebenarnya berlaku pagi ini?” katanya.
Hantaran berkenaan mendapat maklum balas pantas daripada akaun rasmi KLIA, @klinternationalairport, yang menafikan berlaku sebarang gangguan teknikal pada perkhidmatan berkenaan.
Pihak pengurusan menjelaskan, pengoperasian satu tren dari 12 tengah malam hingga 5 pagi adalah mengikut jadual yang diperuntukkan bagi kerja penyelenggaraan rutin (engineering hours).
”Maklumat berhubung jadual dan waktu penyelenggaraan membabitkan tren itu sentiasa dipaparkan pada skrin maklumat di sekitar kawasan perkhidmatan Aerotrain.
”Masa menunggu mungkin mengambil masa lebih lama berbanding biasa sekiranya berlaku peningkatan jumlah penumpang secara mendadak dalam julat masa berkenaan,” jelasnya.
Justeru, pihak pengurusan menasihatkan penumpang yang menggunakan perkhidmatan KLIA pada waktu malam supaya merancang perjalanan mereka sewajarnya.
© New Straits Times Press (M) Bhd




