Tun Siti Hasmah dikenang peramah, suka berkongsi coklat – Haniff Khatri

Tun Siti Hasmah dikenang peramah, suka berkongsi coklat – Haniff Khatri

PUTRAJAYA: Sifat peramah dan penyayang allahyarham Tun Dr Siti Hasmah Mohamad Ali yang gemar melayan orang di sekeliling serta berkongsi coklat menjadi antara kenangan paling lekat dalam ingatan mereka yang pernah berurusan dengannya.

Peguam kanan, Mohamed Haniff Khatri Abdulla berkata, keperibadian isteri bekas Perdana Menteri, Tun Dr Mahathir Mohamad itu jelas terserlah meskipun dalam urusan rasmi dan profesional.

Menurutnya, pada setiap Jumaat, Tun Siti Hasmah sering membawa bakul berisi coklat untuk diberikan kepada orang di sekelilingnya.

Memuatkan artikel berkaitan…

“Saya percaya semua orang tahu dia seorang yang peramah dan mempunyai jiwa penyayang. Kalau kami pergi ke pejabat untuk apa-apa urusan, urusan kita profesional dengan Tun dan sebagainya, tetapi tengok bagaimana dia akan melayan kita.

“Saya ingat setiap hari Jumaat, biasanya dia akan bawa bakul. Dalam bakul itu ada coklat dan dia akan bagi-bagi kepada orang,” katanya ketika ditemui di Tanah Perkuburan Islam Presint 20, di sini hari ini.

Mohamed Haniff berkata, sifat penyayang dan suka melayan orang itu bukan hanya dapat dilihat ketika berada di pejabat, malah turut terserlah ketika menghadiri pelbagai majlis dan acara di luar.

Katanya, Tun Siti Hasmah juga sentiasa memilih untuk berada di belakang suaminya dan tidak pernah menonjolkan diri, namun tetap setia menemani Tun Dr Mahathir dalam pelbagai urusan rasmi mahupun tidak rasmi.

“Dia sering kali di belakang suami, tidak pernah menonjolkan diri, tetapi menemani setiap urusan rasmi atau tidak rasmi itu.

“Saya rasa itu yang paling lekat dalam mata rakyat Malaysia yang mengenali beliau, termasuklah ramai yang pernah berurusan di pejabat itu,” katanya.

Dalam pada itu, Mohamed Haniff mendoakan agar Allah SWT mengampuni segala dosa Tun Siti Hasmah serta menempatkannya dalam kalangan insan yang mendapat rahmat dan syurga-Nya.

Beliau turut berharap seluruh rakyat Malaysia bersama-sama mendoakan kekuatan buat Tun Dr Mahathir dan keluarga yang kini berdepan kehilangan besar.

“Tun kehilangan isteri, keluarga kehilangan ibu, tetapi negara Malaysia kehilangan seorang tokoh,” katanya. – UTUSAN

Scroll to Top