Tun Dr. Hasmah ikon kesihatan awam negara, kesayangan rakyat sejak berdekad – Dzulkefly

Tun Dr. Hasmah ikon kesihatan awam negara, kesayangan rakyat sejak berdekad – Dzulkefly

Menteri Kesihatan, Datuk Seri Dr. Dzulkefly Ahmad menyifatkan pemergian Tun Dr. Siti Hasmah Mohamad Ali sebagai kehilangan besar kepada negara, selain menganggap Allahyarhamah sebagai ikon dan tokoh terbilang dalam bidang kesihatan awam.

Menurutnya, Allahyarhamah yang sekian lama dekat dengan Kementerian Kesihatan (KKM) sentiasa memberikan sokongan serta perhatian terhadap usaha memperkukuh sektor kesihatan negara.

“Ini sememangnya hari yang amat menyedihkan. Kehilangan ini adalah kehilangan kepada negara. Beliau adalah kesayangan rakyat sejak bertahun-tahun, malah berdekad lamanya.
“Bagi KKM, khususnya selepas tiga hingga empat dekad bersama kementerian, beliau merupakan ikon dan tokoh terbilang dalam kesihatan awam serta usaha mempertingkatkan perkhidmatan kesihatan,” katanya.

Beliau berkata demikian ketika ditemui selepas menziarahi jenazah Allahyarhamah Tun Dr. Siti Hasmah di Masjid As-Syarif, Taman Sungai Besi di sini sebentar tadi.

Dr. Dzulkefly berkata, Allahyarhamah turut sentiasa memberikan sokongan kepada warga KKM, termasuk dalam aspek kebajikan dan peranan jururawat.

“Saya sendiri sangat dekat dengan beliau dan beliau sentiasa memberikan sokongan, khususnya berkaitan jururawat,” katanya lagi.

Dalam pada itu, beliau menzahirkan ucapan takziah kepada keluarga Allahyarhamah, termasuk anak-anaknya, Datin Marina Mahathir, Datuk Seri Mukhriz Tun Dr. Mahathir, Datuk Mokhzani Mahathir dan Mirzan Mahathir.

“Saya mendoakan agar roh Allahyarhamah diampunkan segala dosa oleh Allah SWT dan ditempatkan dalam kalangan orang yang mendapat keberkatan-Nya,” ujar beliau.

Sumber: Kosmo! Online (Mohd Rasdan Ahmad)

Scroll to Top