mohdsyazwan@hmetro.com.my
Jakarta: Suasana menjelang pertemuan Malaysia menentang Indonesia dalam aksi kedua Kumpulan A Divisyen 1 Piala ASEAN FIFA 2026 di Stadium Gelora Bung Karno (GBK) di sini hari ini disifatkan lebih teratur dan selamat, terutama dari aspek kawalan keselamatan terhadap penyokong Harimau Malaya.
Penyokong Malaysia, Azman Hamzah, 44, dari Puchong, Selangor berkata, penganjuran kejohanan kali ini yang dikendalikan Persekutuan Bolasepak Antarabangsa (FIFA) dilihat memberi perbezaan ketara dari segi kawalan keselamatan dan keadaan sekeliling stadium.
Menurutnya, keadaan itu membuatkan dia berasa lebih selesa untuk berada di Jakarta dan menyaksikan pertembungan dua negara jiran berkenaan berbanding kebimbangan yang pernah dirasai sebelum ini.
“Daripada segi suasana dan penganjuran yang dikendalikan FIFA, saya lihat kali ini lebih baik. Saya sendiri tidak menjangka keadaan akan menjadi lebih teratur dan selamat seperti ini.
“Dulu kita takut untuk berjalan, tetapi sekarang saya rasa lebih bebas. Keselamatan pasukan pelawat seperti Malaysia juga lebih terjamin, terjaga dan terkawal,” katanya yang berasal dari Puchong, Selangor.
Azman berkata, kawalan keselamatan yang dilihat di sekitar GBK memberi keyakinan kepada penyokong Malaysia untuk hadir ke stadium tanpa perlu terlalu bimbang mengenai keselamatan diri.
Dalam pada itu, seorang lagi penyokong Harimau Malaya, Ahmad Muzahid Abdul Wahab, yang berasal dari Johor Bahru berkata, dia sudah tiba di Jakarta sejak semalam semata-mata untuk menyaksikan aksi yang disifatkannya sebagai derbi Nusantara itu.
Katanya, sebelum hadir ke stadium, dia terlebih dahulu melihat keadaan di sekitar lokasi dan mendapati kawalan keselamatan kali ini cukup ketat dengan beberapa lapisan pemeriksaan sebelum penyokong dibenarkan memasuki stadium.
“Saya memang penyokong tegar dan mahu menyaksikan sendiri perlawanan Malaysia menentang Indonesia. Saya sudah berada di Jakarta sejak semalam dan memang tidak mahu lepaskan peluang ini.
“Saya ramal Malaysia akan menang 3-2. Saya harap pemain dapat memberikan aksi terbaik dan membawa pulang kemenangan,” katanya.
Kira-kira 500 penyokong Malaysia dilaporkan sudah berada di Stadium GBK sejak jam 4 petang bagi memberikan sokongan kepada Harimau Malaya, dengan suasana di kawasan stadium setakat ini dilihat terkawal tanpa unsur provokasi.
Selain itu, ribuan penyokong tuan rumah juga sudah membanjiri stadium dengan mereka tidak melakukan sebarang provokasi.
Malaysia, yang membuka kempen dengan kemenangan 3-0 ke atas Bangladesh pada Jumaat lalu, akan berdepan tuan rumah Indonesia malam ini di GBK sebelum melengkapkan aksi kumpulan menentang Singapura di Bandung pada 1 Oktober.
© New Straits Times Press (M) Bhd




